Blok batuan tergantung berisiko runtuh di resort pelancongan Tambun

Bernama
November 11, 2020 16:44 MYT
Pasukan bomba melakukan operasi mencari dan menyelamat mangsa dalam kejadian tanah runtuh awal pagi semalam. -JBPM
IPOH: Blok batuan tergantung bersaiz antara lima hingga 10 meter di cerun kaki bukit batu kapur di dalam kawasan resort peranginan The Banjaran Hotsprings Retreat, Tambun di sini, berisiko mengalami runtuhan pada bila-bila masa.
Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata penilaian lapangan oleh Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) mendapati cerun yang mengalami runtuhan semalam masih belum stabil dan runtuhan kecil masih berlaku.
Katanya, JMG menganggarkan keluasan runtuhan adalah kira-kira 5,000 meter persegi melibatkan ketinggian antara 50 hingga 100 meter.
"Terdapat aliran air keluar dari beberapa retakan di sepanjang muka cerun yang menghadap ke deretan villa di pusat peranginan itu. Sehubungan itu, semua pihak diminta mengambil langkah berjaga-jaga," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Shamsul Anuar berkata kementeriannya melalui JMG akan terus membantu pihak berkuasa tempatan dalam memantau kestabilan cerun di kawasan tersebut dan memberi nasihat keselamatan serta perancangan pembangunan di lereng-lereng bukit selaras dengan garis panduan Penentuan Zon Bahaya di Sekitar Batu Kapur.
BACA: Tanah runtuh di Tambun, dua dikhuatiri tertimbus
BACA: Mayat mangsa tanah runtuh resort Tambun berjaya dibawa keluar
Dalam kejadian runtuhan awal pagi semalam, dua penghuni salah sebuah unit di pusat peranginan itu maut dikenali sebagai Ooi Chee Wei, 39, dan Lee Tze Juin, 32, kedua-duanya berasal dari Kuala Lumpur dan datang ke Ipoh atas urusan kerja.
Hasil bedah siasat di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini mengenal pasti kematian kedua-dua mangsa berpunca daripada kecederaan akibat dihempap tanah serta tembok dinding.
-BERNAMA
#runtuhan #tanah #tanah runtuh #The Banjaran Hotsprings Retreat #Tambun #Shamsul Anuar Nasarah #Penentuan Zon Bahaya #batu kapur
;