'Blogger seks Alvin Tan tiada di Singapura'

Astro Awani
Ogos 28, 2014 11:05 MYT
Alvin Tan (kanan) bersama Vivian Lee. - Gambar fail
Penulis blog kontroversi, Alvin Tan, yang didakwa mempersenda umat Islam dan bulan Ramadan, dilaporkan sudah tidak lagi berada di Singapura.
Peguam tertuduh, Chong Joo Tian berkata Tan sepatutnya telah memulangkan pasportnya kepada pihak berkuasa Malaysia pada 3 Jun selepas menjalani penggambaran sebuah dokumentari di Singapura pada bulan Mei.
Namun usaha menjejakinya sejak Jun masih gagal, ujar Chong kepada The Straits Times.
Teman wanita tertuduh, Vivian Lee, juga tidak mengetahui di mana dia berada.
"Ibunya cuba menghubunginya, kami juga cuba menelefonnya, tetapi telefon bimbitnya telah dimatikan, dan kami juga masih tidak tahu di mana dia berada sekarang," kata Chong.
Mahkamah Sesyen pada 22 Ogos telah melucutkan hak jaminan sebanyak RM20,000 terhadap Alvin Tan, 25, kerana masih gagal hadir ke mahkamah tanpa alasan yang munasabah.
Tan sebelum ini dibebaskan dengan jaminan sebanyak RM30,000 dengan dua penjamin iaitu sepupu, Loo Ching Ching, 44, dan ibunya, All Kim Lian, 57.
Mahkamah menetapkan 3 Oktober ini untuk sebutan semula kes.
#Alvin Tan #penulis blog kontroversi #Singapura #Vivian Lee
;