Blogger PapaGomo ditahan di bawah Akta Hasutan - Khalid

Haider Yutim
Julai 15, 2015 11:30 MYT
Dalam pada itu katanya ramai lagi yang akan ditahan termasuk seorang ketua bahagian sebuah parti di Pulau Pinang.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini mengesahkan bahawa blogger kontroversi, PapaGomo telah ditahan di kediamannya semalam berhubung kes rusuhan di Plaza Low Yat.
Menurutnya, beliau dipercayai ditahan di bawah Akta Hasutan ekoran maklumat palsu dan menghasut yang disebarkannya di media sosial.
Dia dimaklumkan akan direman hari ini, namun pihak polis tidak memaklumkan di mana blogger tersebut, Wan Muhammad Azri Wan Deris, akan direman.
"Sudah ditangkap semalam.. kita juga sudah tangkap lagi empat orang untuk bantu siasatan," katanya pada sidang media Op Selamat di Plaza Tol Gombak pada Rabu.
Dalam pada itu katanya ramai lagi yang akan ditahan termasuk seorang ketua bahagian sebuah parti di Pulau Pinang.
"Ramai lagi kita akan tahan terutama sekali yang menyalahgunakan media sosial termasuk seorang ketua bahagian di Pulau Pinang," kata Khalid.
Ujarnya pihak polis tidak akan berkompromi jika ada individu yang dipercayai mengeluarkan atau menyebarkan maklumat berbaur hasutan.
"Ada pula yang beri analisis di media sosial tentang kejadian di Low Yat, itu pun kena hati-hati sikit.. jika ada unsur hasutan kita akan tangkap," tegas Khalid.
Maklum beliau, setakat ini polis sudah menahan 25 individu yang ada kaitan dengan kes di Low Yat itu dan katanya pihak polis akan terus melakukan penahanan termasuk yang menyalahgunakan media sosial.
"Ia sesuatu yang kita tidak akan benarkan berlaku. Jangan kata polis patut buat itu, buat ini... kami buta warna dalam hal ini," tambahnya.
Sepanjang pergaduhan dan rusuhan yang berlaku di Plaza Low Yat sejak malam Sabtu hingga awal pagi Isnin, seramai tujuh orang dilaporkan cedera; tiga daripadanya adalah pengamal media.
Ketegangan tercetus di luar plaza itu sejurus selepas tengah malam Ahad apabila pergaduhan terjadi antara dua kumpulan, hanya beberapa jam selepas polis mengarahkan kumpulan besar di luar plaza itu bersurai.
Insiden yang berlaku termasuk tumbuk-menumbuk. Topi keledar dan barang lain turut dilempar terhadap satu sama lain.
#akta hasutan #Khalid Abu Bakar #Papagomo #rusuhan di Plaza Low Yat.
;