'Blogger' ditahan reman bantu siasatan dakwaan rasuah RM41 juta

Astro Awani
Mei 12, 2023 09:09 MYT
SPRM menahan reman seorang 'blogger' bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan satu projek bernilai lebih kurang RM41 juta di sebuah kementerian. -Foto ihsan SPRM
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan reman seorang 'blogger' bagi membantu siasatan berhubung dakwaan rasuah membabitkan satu projek bernilai lebih kurang RM41 juta di sebuah kementerian.
Majistret Puan Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman selama dua hari bermula hari ini hingga 13 Mei terhadap suspek selepas SPRM membuat permohonan reman di Mahkamah Majistret Putrajaya, pagi ini.
Menurut sumber, suspek lelaki yang merupakan penulis blog itu dipercayai menerima rasuah kira-kira RM1.3 juta daripada sebuah syarikat teknologi maklumat (IT) sekitar tahun 2020.
Sumber menambah permintaan dan pembayaran rasuah tersebut dipercayai dilakukan sebagai dorongan kepada suspek melobi supaya syarikat berkenaan berjaya dalam perolehan kontrak berkaitan.
Difahamkan, selain isu jenayah rasuah, SPRM turut akan melihat bagaimana tatacara perolehan projek tersebut dilaksanakan.
Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim ketika dihubungi mengesahkan tangkapan berkenaan dan kes disiasat di bawah Seksyen 16 Akta SPRM 2009.
#Blogger ditahan reman #projek RM41 juta #SPRM #syarikat teknologi maklumat