BKM mula dibayar 28 Mac, ringankan beban rakyat sambut Ramadan - PM
Ridauddin Daud
Mac 20, 2022 16:46 MYT
Mac 20, 2022 16:46 MYT
KUALA LUMPUR: Pembayaran Fasa 1 Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) kepada 8.6 juta penerima akan diberikan secara berperingkat bermula 28 Mac 2022.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, penerima akan mendapat bayaran sebanyak RM100 hingga RM300 berdasarkan kelayakan setiap penerima.
Menurut Perdana Menteri, ia merangkumi 4.0 juta isi rumah, 1.2 juta warga emas (bujang/tiada pasangan) dan 3.4 juta individu bujang.
“Setiap penerima yang layak akan menerima bayaran secara berperingkat mulai 28 Mac 2022 (Rabu) melibatkan peruntukan berjumlah hampir RM2.0 bilion.
“Pembayaran ini juga bagi meringankan beban kewangan rakyat terutamanya dalam menyambut bulan Ramadan 1443H,” kata beliau dalam satu kenyataan pada Ahad.
Menurutnya, isi rumah, warga emas dan individu bujang akan menerima bayaran pada 28 Mac 2022 hingga 8 April 2022 yang akan terus dikreditkan ke akaun bank mereka.
Bagi penerima yang tidak mempunyai akaun bank (termasuk di Sabah & Sarawak), bayaran akan mula diterima pada 30 Mac 2022 melalui cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN).
Menurut Ismail Sabri, BSN akan mengeluarkan panduan berkaitan prosedur operasi standard (SOP) dari semasa ke semasa.
“Bagi memastikan program BKM disasarkan kepada mereka yang benar-benar layak, tempoh permohonan rayuan akan dibuka mulai 2 Mei 2022 untuk tempoh sebulan.
“Proses ini adalah bagi mempertimbangkan semula permohonan yang tidak diluluskan, dengan memberi ruang untuk mengemukakan rayuan berserta dokumen yang berkaitan untuk disemak semula oleh LHDNM.
“Kerajaan sentiasa peka dengan keperluan semasa dan akan terus komited dalam memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia terutamanya kumpulan sasar,” ujarnya.
Untuk rekod, BKM adalah sebuah inisiatif bantuan tunai langsung yang diumumkan di dalam Belanjawan 2022 bagi memanfaatkan golongan B40.
#ismail sabri yaakob
#BKM
#Ramadan
#Perdana Menteri
#bujang
#isi rumah
#warga emas
#Bantuan Keluarga Malaysia