BKK Aidilfitri RM500 kepada penjawat awam, RM250 untuk pesara dibayar minggu depan - PM Anwar

Bernama
Mac 21, 2025 15:26 MYT
Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. -Gambar fail/Bernama
SEPANG: Kerajaan bersetuju menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar minggu depan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Ringkasan AI
  • Kerajaan akan menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) Aidilfitri sebanyak RM500 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah minggu depan.
  • BKK Aidilfitri sebanyak RM250 akan dibayar kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen dan tidak berpencen.
  • Keputusan ini dibuat untuk menghargai khidmat dan kesungguhan penjawat awam serta pesara.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata BKK Aidilfitri sebanyak RM250 pula akan dibayar kepada semua pesara kerajaan termasuk veteran berpencen serta tidak berpencen.
"Kerajaan menimbang secara serius walaupun pada hemat saya (isu bonus penjawat awam) sudah diselesaikan pada bulan Februari tetapi kerana mengenangkan pentadbiran itu lebih baik, khidmat mereka lebih baik dan kesungguhan yang ada.
"Maka saya putuskan, Insya-Allah dalam minggu depan, kita akan salurkan kepada Gred 56 ke bawah RM500 bagi setiap penjawat awam dan untuk pesara RM250 termasuk veteran dan veteran tidak berpencen," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Sultan Abdul Samad Lapangan Terbang Antarabanga Kuala Lumpur (KLIA) di sini, hari ini.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 1/2024 Pelaksanaan Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), Gred Sistem Saraan Malaysia (SSM) 55 dan 56 ditukarkan Gred SSPA 15.
Anwar berkata pembayaran BKK Aidilfitri kepada 1.6 juta penjawat awam dan pesara itu membabitkan peruntukan mencecah RM900 juta.
"Alhamdulillah, oleh kerana kita catat pertumbuhan ekonomi lebih baik, hasil negara lebih baik dan sumbangan penjawat awam lebih teratur, lebih disiplin, ketirisan masih ada tetapi banyak (dapat) dikawal," kata beliau.
Justeru, Anwar berharap penjawat awam di negara ini dapat memahami mengapa kerajaan sentiasa bersikap tegas dalam isu tatakelola bagi mengelak ketirisan dan rasuah dalam sektor perkhidmatan awam.
"Sebab itu penting apabila kita (kerajaan) dapat hasil, kita pulangkan balik kepada rakyat," kata Perdana Menteri.
-- BERNAMA
#Aidilfitri #Anwar Ibrahim #bantuan khas kewangan #penjawat awam #pesara kerajaan
;