BKBJ terbuka kepada bukan anak jati Johor

Bernama
Julai 11, 2022 06:30 MYT
Mohd Fared berkata bantuan berkenaan yang juga dikenali sebagai Bantuan Raja Sehari itu, adalah untuk pasangan pengantin pertama kali yang berkahwin di Johor dengan bantuan sebanyak RM1,000. - Foto fail/BERNAMA
BATU PAHAT: Bantuan Kasih Bangsa Johor (BKBJ) di bawah insentif Orang Muda Johor tidak hanya tertumpu kepada anak jati Johor sahaja, tetapi juga dibuka kepada mereka yang telah menetap sekurang-kurangnya tiga tahun di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid berkata bantuan berkenaan yang juga dikenali sebagai Bantuan Raja Sehari itu, adalah untuk pasangan pengantin pertama kali yang berkahwin di Johor dengan bantuan sebanyak RM1,000.
Katanya, antara syarat utama untuk mendapatkan bantuan berkenaan adalah berusia di bawah 40 tahun dan berpendapatan RM5,000 ke bawah.
"Bantuan yang telah bermula sejak April lalu itu adalah sebanyak RM10 juta dengan RM6 juta adalah untuk pasangan yang beragama Islam manakala sebanyak RM4 juta lagi adalah untuk yang bukan beragama Islam.
"Kerajaan Johor mengalu-alukan pasangan yang berkahwin pertama kali, sekali gus mendapatkan bantuan berkenaan, sejak dibuka sebanyak 200 pasangan telah menerima manfaatnya," katanya, pada Isnin.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Program Korban Perdana, Penyampaian Bantuan Kasih Bangsa Johor dan Penyampaian Cenderahati Pelajar Cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah di Rumah Orang Semerah, di sini.
Sementara itu, Mohd Fared yang juga ADUN Semerah itu berkata pihaknya telah menyumbang sebanyak 10 ekor lembu untuk ibadah korban, yang kemudiannya diagih-agihkan kepada penduduk sekitar.
Katanya, pihaknya turut meraikan 36 pelajar cemerlang dalam SPM 2021 sebagai galakan untuk mereka terus berjaya di masa akan datang.
Turut menerima bantuan ialah pasangan Mohamad Aiman Hakim Mohd Salleh, 20, dan Nurasyura Ashri, 21, yang menerima Bantuan Kasih Bangsa Johor.
-- BERNAMA
#BKBJ #Bantuan Kasih Bangsa Johor #insentif Orang Muda Johor #Mohd Fared Mohd Khalid
;