BIT Expo 2023: Teroka peluang perniagaan mampu milik
Astro Awani
Mac 3, 2023 14:00 MYT
Mac 3, 2023 14:00 MYT
KUALA LUMPUR: Lebih 2,000 pengunjung menghadiri Business In Transformation Expo (BITe) 2023 yang berlangsung baru-baru ini,
Ketua Setiausaha, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad berkata ekspo tersebut akan menghimpunkan 60 usahawan program BIT bagi mempromosikan pakej mampu milik dan model perniagaan mereka selain membuka peluang kepada pengunjung menceburi bidang keusahawanan francais.
"BITe 2023 merupakan penganjuran kali kedua di mana kali pertama penganjurannya adalah pada 5 April 2021 di Putrajaya melibatkan penyertaan 39 usahawan BIT dengan jumlah pengunjung seramai 567 orang yang terdiri daripada kakitangan kementerian, agensi, badan-badan kerajaan dan persatuan yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai program BIT dan pakej perniagaan yang ditawarkan oleh para usahawan.
"Tahun ini, kita telah menerima sambutan yang menggalakkan daripada usahawan BIT sebagai pempamer di BITe 2023 yang bertambah 2 kali ganda dari tahun 2021 dengan penyertaan 60 orang pempamer dan sasaran 2,000 pengunjung.
"Adalah diharapkan melalui BITe tahun ini, lebih ramai lagi usahawan-usahawan baru dapat menerokai dan menceburi perniagaan francais," kata beliau dalam temu bual bersama Astro AWANI baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Suriani berkata selain pameran dan forum, antara program yang bakal dilaksanakan adalah 'Business Pitching'.
"Pempamer akan berkongsi mengenai perniagaan dan pakej mampu milik mereka di pentas utama bagi tujuan pemasaran dan promosi untuk menarik pengunjung menyertai sebagai rakan niaga mereka dan setiap pempamer diberi masa 15 minit untuk berkongsi perniagaan mereka.
"Pengunjung juga boleh mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan dengan perniagaan francais dan skim-skim pembiayaan serta latihan yang ditawarkan di Perbadanan Nasional Berhad (Pernas)," ujar beliau.
BITe 2023 yang berlangsung di Setia City Convention Centre, Shah Alam dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick.
#Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi
#Kuskop
#Dato' Sri Suriani Dato' Ahmad
#BIT Expo 2023