Biskut berasap mula-mula sedap, kemudian...

Astro Awani
Disember 18, 2016 21:13 MYT
Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melecur tapak tangan dan kesakitan di bahagian tekak gara-gara biskut yang mengeluarkan asap. - Gambar Astro AWANI
Seorang remaja lelaki berusia 15 tahun melecur tapak tangan dan mengalami kesakitan di bahagian tekak gara-gara biskut yang mengeluarkan asap apabila dimakan.
Mangsa, Mohd Aiman Mohd Ridwan juga mengadu masih bergelut dengan kepedihan di bahagian tekak biar pun sudah lebih 30 jam berlalu selepas dia memakan biskut berjenama 'Dragon Breath' itu.
Ibunya, Nordiana Yaacob, 45, membeli biskut berkenaan di sebuah gerai di bazar larut malam Uptown di sini, Jumaat lalu dengan harga RM10 semangkuk.
Mohd Aiman menyedari sesuatu yang pelik apabila tapak tangannya terasa pedih apabila terkena cecair 'biskut berasap' itu.
Tidak lama kemudian, tapak tangannya melecur dan mengelembung seperti terkena air panas.
"Saya makan biskut yang keempat dan pada masa yang sama bila makan terasa pedih dalam mulut," kata Mohd Aiman.
Bimbang dengan isi kandungan biskut tersebut, ibunya memanjangkan hal ini kepada Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE).
Setiausaha CAKE, Mohamad Yusrizal Yusoff juga mengesahkan telah menerima lima aduan yang sama melibatkan biskut tersebut.
"Setelah persatuan pengguna kedah membuat kajian, kita mendapati bahawa 'dragon cookies' ini menggunakan gas nitrogen untuk mengeluarkan asap.
"Jadi untuk pengetahuan secara rambang kita lihat gas nitrogen memang amat berbahaya kepada kesihatan," katanya semasa ditemubual Astro AWANI di pejabatnya, di sini, hari ini.
Justeru itu, CAKE mendesak pihak berkuasa termasuk Jabatan Kesihatan Negeri menjalankan siasatan terperinci dan mengelak kejadian yang memudaratkan pengguna tersebut tidak berulang.
#biskut #cake #Dragon Breath #uptown
;