'Biskut berasap': Lima aduan diterima, pengguna mula ragui kandungan, keselamatan
Astro Awani
Disember 19, 2016 14:08 MYT
Disember 19, 2016 14:08 MYT
Pelbagai reaksi diterima dengan kemunculan biskut 'Dragon Breath' yang mengeluarkan kesan wap atau asap apabila dikunyah, lebih-lebih lagi selepas media melaporkan aduan seorang mangsa yang mengalami lecur di tapak tangan kerana terkena cecair nitrogen dari biskut tersebut.
Orang awam telah meluahkan reaksi tidak selesa mereka mengenai kejadian itu dan mengatakan bahawa kebanyakan produk-produk baharu yang terdapat di pasaran hanya mengikut trend semasa dan tidak semestinya berkualiti.
Para peniaga juga dikatakan hanya mengejar keuntungan dan mempromosikan produk tanpa mengambil kira kandungan produk tersebut.
“Nampak seronok, tapi seronok sahaja yang kita nampak tanpa fikrikan kesan kepada kesihatan. Orang fikir ini adalah produk baharu, jadi semua orang hendak cuba. Tiada penerangan diberi kepada umum, orang tidak tahu apa-apa, cuma tahu ini produk baharu sahaja,” jelas seorang peniaga, Surina Abdul Manaf.
Tidak kurang juga ada yang berpendapat bahawa golongan muda hanya mengikut trend tanpa berifkir panjang mengenai kesan dan bahaya selagi mereka tidak terlepas peluang dari mencuba sesuatu.
“Saya rasa biskut itu bahaya sebenarnya sebab bila dimasukkan ke dalam mulut, dia keluar asap yang banyak, ada yang kata biskut itu ada kandungan nitrogen dan sebenarnya membahayakan manusia,” luah Mira Maizan, seorang suri rumah.
Semalam, Astro AWANI telah melaporkan kejadian seorang remaja dari Alor Setar yang melecur di tapak tangan dan mengalami pedih tekak selepas terkena cecair nitrogen dari biskut 'Dragon Breath' tersebut.
Setakat kini, lima aduan telah diterima daripada pengguna yang menerima kesan sama dari 'biskut berasap' itu menurut Setiausaha Persatuan Pengguna Negeri Kedah (CAKE), Mohamad Yusrizal Yusoff.
Pihaknya meminta mana-mana pengguna yang mengakamni masalah yang sama agar membuat laporan di pejabat CAKE untuk memudahkan siasatan dijalankan seterusnya membawa isu berkenaan ke Jabatan Kesihatan negeri.