Biskut beracun: Pekebun dipanggil beri keterangan, bantu siasatan - Polis

Nur Fazlizai Ali
Julai 15, 2024 15:00 MYT
Timbalan Ketua Polis Daerah Kemaman, Deputi Superintenden Wan Muhamad Wan Ja’afar ketika meninjau lokasi kejadian di Kampung Dadong, di sini. -Astro AWANI
KEMAMAN: Polis telah mengenal pasti pekebun yang dipercayai menggunakan biskut beracun bagi mengumpan kera yang menceroboh tanamannya sehingga menyebabkan seorang remaja nyaris maut selepas termakan biskut berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Hanyan Ramlan berkata pihaknya akan memanggil warga emas yang berusia 70 tahun itu untuk siasatan lanjut.
Katanya, pekebun berkenaan dijangka hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kemaman dan siasatan merangkumi pelbagai aspek akan dijalankan.
"Setakat ini kita telah merekod hampir empat keterangan dan juga saksi, dan kita sedang menunggu untuk meneruskan keterangan daripada warga emas berkenaan," kata Hanyan.
Jelasnya, polis belum mengenal pasti jenis racun yang digunakan dan sampel biskut berkenaan telah dihantar ke Jabatan Kimia.
Beliau berkata kes akan disiasat di bawah Seksyen 31 (1) Akta Kanak-Kanak 2001 dan Seksyen 284 Kanun Keseksaan (kelakuan cuai berkenaan dengan benda beracun).
Pada Jumaat lalu, seorang remaja berusia 13 tahun nyaris maut selepas makan biskut dipercayai dicampur racun dalam kejadian di Kampung Dadong, di sini.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.45 petang itu, mangsa Mohd Daynail Haikal Alias, 13, dikejarkan ke Klinik Kesihatan Air Puteh sebelum dirujuk ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.
Difahamkan, ketika kejadian, mangsa bersama seorang rakan sedang memancing di parit bersebelahan kebun berkenaan.
Mangsa dilaporkan stabil dan masih menerima rawatan di Hospital Kemaman.
#IPD Kemaman #termakan racun #warga emas #pemilik kebun