Biro Kebajikan UMNO tinjau mangsa Aceh pada Jumaat
Astro Awani
Disember 8, 2016 22:05 MYT
Disember 8, 2016 22:05 MYT
SHAMSUL: Biro Kebajikan UMNO akan menghantar pasukan ke Aceh pada Jumaat bagi meninjau dengan lebih dekat lokasi bencana. - Gambar fail
Biro Kebajikan UMNO akan menghantar pasukan ke Aceh pada Jumaat bagi meninjau dengan lebih dekat lokasi bencana sebelum bantuan selanjutnya disalurkan kepada mangsa terlibat.
Ketuanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, seramai empat ahli biro itu bersama wartawan akan ke lokasi bencana selain membuat laporan susulan.
"Mereka akan membuat laporan terperinci mengenai keperluan bantuan di Aceh dan kumpulan bantuan akan berlepas ke Aceh apabila memperolehi maklumat bencana secara terperinci daripada kumpulan pertama.
"Apa yang dilakukan ini adalah sebagai tanda hubungan baik Malaysia Indonesia yang telah terjalin sekian lama.
"Semua bantuan Biro Kebajikan UMNO akan dibuat dengan nasihat Wisma Putra dan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.
TONTON: Operasi SAR dipergiat
Sehingga kini, angka korban susulan gempa bumi 6.4 magnitud yang melanda Aceh meningkat sekali ganda kepada 102 orang, kata jurucakap tentera dengan lebih ramai mangsa dibawa keluar dari kesan runtuhan.
Dianggarkan lebih 1,000 anggota tentera dan 900 anggota polis telah dikerah ke kawasan bencana bagi usaha menyelamat selain mendirikan khemah dan pusat pemindahan.
Dalam pada itu kata Shamsul, tempoh pasukan itu di Aceh bergantung kepada keadaan semasa.
"Kita akan tengok lokasi sesuai untuk penghantaran bantuan perubatan," ujarnya.
Gempa bumi berukuran 6.4 magnitud melanda di Pidie Jaya, Aceh awal pagi Rabu sekitar jam 5.03 pagi waktu tempatan, lapor Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).