Biro Kebajikan UMNO sedia bantu Farah Marcella - Shamsul

Astro Awani
Mac 20, 2017 18:39 MYT
Farah Marcella, pelajar SMK Seri Kota Puteri Pasir Gudang, Johor, cemerlang dengan mendapat keputusan 6A pada peperiksaan tahun lalu. - Foto Astro AWANI
Biro Kebajikan UMNO akan membantu pelajar pintar, Farah Marcella yang cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) namun terpaksa menumpang di pusat snuker untuk mendapatkan kediaman selesa pada keluarga itu selain memberi bantuan bulanan selama satu tahun kepadanya.
Pengerusi Biro Kebajikan UMNO, Datuk Shamsul Anuar Nasarah berkata, pihaknya juga akan memberi bantuan sebagai persediaan untuk pelajar ini melanjutkan pelajaran ke mana-mana institusi yang sesuai.
"Kita mengucapkan tahniah kepada adik Farah Marcella Bandie kerana memperoleh keputusan cemerlang SPM baru-baru ini. Walaupun hidup serba kekurangan namun semangat untuk berjaya dan cemerlang dalam SPM tidak menghalangnya dan ia harus menjadi contoh kepada anak muda lain.
"Sehubungan dengan itu, Biro Kebajikan UMNO berasa simpati di atas kekurangan Farah dan keluarga. Kita juga terpanggil untuk membantu keluarga dan pelajar cemerlang ini. Pihak saya juga telah menghantar pegawai untuk berjumpa dengan keluarga tersebut," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
BACA: Tabung untuk pelajar cemerlang SPM pernah menumpang di pusat snuker
BACA: Pelajar perempuan cemerlang SPM tinggal menumpang di pusat snuker
Farah Marcella, pelajar SMK Seri Kota Puteri Pasir Gudang, Johor, cemerlang dengan keputusan 6A.
Melalui satu perkongsian di akaun Facebook, guru Farah, Puan Suraya Abdul Rahim menceritakan, Farah bersama adik beradiknya ditinggalkan bapa tanpa tempat untuk berteduh.
Kerap kali hilang dari sekolah, Farah pernah dibuang sekolah ketika di tingkatan empat, sebelum kembali mendaftar diri untuk tingkatan lima.
Dalam pada itu kata Shamsul, bironya juga akan turut membantu adik beradik Farah yang berumur 10, 12 dan 16 tahun yang tidak dapat ke sekolah akibat kekurangan belanja.
"Bantuan yang diberi adalah sesuai dengan peranan dan tanggungjawab biro untuk membantu mana- mana pihak yang memerlukan," jelasnya.
Pada Isnin, satu tabung untuk membantu membiayai pembelajaran Farah diwujudkan.
Tabung berkenaan adalah hasil inisiatif guru Farah, Puan Suraya Abdul Rahim, dan abangnya Encik Zaikhan, yang mahu melihat Farah mempunyai masa depan yang lebih terjamin.
#Biro Kebajikan UMNO #Farah Marcella #menginap di pusat snuker #pelajar cemerlang SPM #Shamsul Anuar Nasarah
;