Biro Kebajikan UMNO percepat proses bawa pulang Jaffar
Wan Syamsul Amly
September 7, 2016 16:19 MYT
September 7, 2016 16:19 MYT
Biro Kebajikan UMNO akan mempercepatkan proses membawa pulang pesara kerajaan, Jaffar Saion yang kini terlantar di Hospital Prince of Wales, Sydney, Australia selepas diserang angin ahmar sejak 30 Ogos lepas.
Pengerusinya, Datuk Shamsul Anuar Nasarah bagaimanapun berkata, tarikh sebenar bergantung kepada segala urusan dengan pihak serta urusan dokumen berkaitan.
"Apa yang penting ia mesti dibuat mengikut peraturan dan prosedur operasi standard (SOP) yang betul supaya tidak ada masalah yang berlaku nanti.
"Langkah yang diambil oleh Biro Kebajikan UMNO sebenarnya adalah selaras dengan kehendak Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak supaya biro segera memberikan bantuan terhadap masalah yang rakyat hadapi. Justeru itu kes ini akan dikendalikan oleh biro kebajikan bersama beberapa agensi berkaitan," katanya ketika menghubungi Astro AWANI di sini hari ini.
Sebelum ini, anak pesara kerajaan itu memuatkan naik berita mengenai insiden menimpa ayah mereka di media sosial sebelum disiarkan media.
Catatan itu turut mengundang simpati ramai pihak. Dalam pada itu kata Shamsul, pihak biro kebajikan akan diketuai Setiausaha ( Operasi ), Abdul Khalid Chairul selain disertai beberapa ahli lain. "Persiapan sedang dibuat dan harapannya tidak akan ada masalah yang timbul berkaitan urusan ini," jelasnya.
Shamsul kini berada di Mekah untuk mengerjakan haji.