Biro Kebajikan UMNO akan bawa pulang tiga mangsa keldai dadah
Rahimah Abdullah
November 30, 2016 21:11 MYT
November 30, 2016 21:11 MYT
Biro Kebajikan UMNO Malaysia dijangka membawa pulang tiga daripada tujuh mangsa keldai dadah yang ditangkap pihak berkuasa Peru sejak tahun 2007.
Ketuanya yang juga Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata, anggota misi itu dijadual berlepas ke Peru awal Januari tahun depan.
"Namun bukan semua tujuh boleh dibawa pulang serta-merta. Banyak proses perlu dibuat. Ada sebahagian boleh bawa pulang sebahagian parol Peru dan sebahagian belum selesai bicara.
"Jadi, mana boleh dibawa pulang kita buat proses dokumentasi dan sebahagiannya tunggu bicara," katanya dalam sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.
Tiga wanita berkenaan adalah Syzlin Hathaman dari Johor, Nor Suzana Azmi dari Kuala Lumpur dan Noor Azimah Sapie dari Negeri Sembilan.
"Seperti yang dilaporkan media sebelum ini, mereka ini telah menjalani hukuman penjara antara dua setengah ke enam setengah tahun. Walau bagaimanapun, kepulangan mereka tergendala disebabkan beberapa faktor dan permasalahan lain yang memerlukan bantuan," tambahnya lagi.
Ujar beliau, kerajaan Peru juga telah memberi kerjasama yang baik bagi memastikan usaha membawa pulang rakyat Malaysia berkenaan ke tanah air.
Biro Kebajikan UMNO juga katanya, diberi mandat dan arahan untuk melaksanakan misi yang mendapat kerjasama penuh Wisma Putra.
"Ada yang tidak dapat pulang sebab kewangan. Yang penting hari ini kita laksanakan kerjasama dengan UMNO Wilayah Persekutuan dan Johor. Yang penting parti main peranan sebab sebahagian besar adalah teraniaya dan terpengaruh," ujarnya.
Shamsul Anuar berkata, semua proses membawa pulang kesemua mereka akan dilakukan dengan tanpa mengetepikan undang-undang dua negara.