Bioteknologi tarik pelaburan bernilai RM14.5 billion ke Malaysia
Izza Izelan
Jun 17, 2014 20:37 MYT
Jun 17, 2014 20:37 MYT
Malaysia telah mengukuhkan kedudukannya bukan sahaja sebagai hab perniagaan yang progresif, tetapi juga sebagai pemain global dalam industri bioekonomi, dengan menawarkan insentif cukai kepada pelabur, tenaga kerja teknikal mahir, infrastruktur khusus dan banyak sumber-sumber biologi semula jadi untuk perkembangan ekosistem bioekonomi.
Dalam satu kenyataan media,Ketua Pegawai Eksekutif Malaysian Biotechnology Corporation (BiotechCorp), Dato’ Dr Mohd Nazlee Kamal berkata, Malaysia berada di landasan yang betul untuk mewujudkan hab bioekonomi di Asia Pasifik.
"Program Transformasi Bioekonomi negara (BTP), telah meluluskan pelaburan yang melebihi RM14.5 bilion dengan lebih tiga syarikat Amerika Syarikat memilih Malaysia sebagai ibu pejabat penyelidikan (RHQ) mereka bagi rantau Asia-Pasifik.” katanya.
Insentif seperti pengecualian cukai 100% untuk 10 tahun dan potongan dua kali bagi perbelanjaan untuk Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) untuk syarikat yang layak menjalankan bioteknologi bernilai tambah dan atau aktiviti-aktiviti sains hayat di bawah program BioNexus yang telah diperkenalkan, justeru mewujudkan persekitaran pelaburan yang lebih menarik.
Tumpuan yang diberikan kepada pekerja berkemahiran tinggi di bawah Program Transformasi Ekonomi juga telah memastikan pelbagai bakat - jurutera, biokimia, juruteknik makmal, dan ahli-ahli sains di kalangan mereka - adalah merupakan sebahagian daripada bioekonomi yang pesat berkembang.
BiotechCorp telah menjadi peneraju pembangunan bioteknologi nasional yang menyediakan hala tuju strategik dan bantuan operasi bioteknologi.
Program Transformasi Bioekonomi oleh kerajaan Malaysia bertujuan untuk mempelbagai dan memperkembang keupayaan Malaysia dalam bidang bioteknologi.
Di bawah program ini, kerajaan mensasarkan pelaburan berjumlah RM51.55 bilion, dan mewujudkan 170,000 pekerjaan baru dan Pendapatan Negara Kasar (PNK) sebanyak RM38.66 bilion pada tahun 2020.
Kekuatan dan keupayaan Malaysia dalam sektor pertanian, penjagaan kesihatan dan perindustrian bioteknologi akan dipamerkan pada Konvensyen Tahunan BIO Antarabangsa 2014 (BIO).
Konvensyen ini akan berlangsung dari 23 hingga 26 Jun 2014 di San Diego, California.