BioProtein Powder juara INNOVATHON 2, raih RM100,000
Amirul Aiman
Januari 20, 2025 11:15 MYT
Januari 20, 2025 11:15 MYT
KUALA LUMPUR: BioProtein Powder dinobatkan juara INNOVATHON 2, membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 dan sokongan pelaburan bernilai sehingga RM1 juta.
Kejayaan tersebut diumumkan dalam episod akhir program realiti sains, teknologi, dan inovasi yang disiarkan Sabtu lalu.
Inovasi yang dihasilkan oleh Prof Dr Azizi Ayob itu memperkenalkan teknologi baharu untuk menukarkan bioprotein cair kepada bentuk serbuk.
Teknologi ini bukan sahaja meningkatkan kestabilan kimia dan fizikal bioprotein, tetapi juga memanjangkan tempoh simpanannya daripada enam bulan kepada 18 bulan.
Dalam pembentangan akhir, beliau menjelaskan, inovasi ini mampu mengurangkan kos rawatan luka kronik, trauma dan ulser, sambil mengekalkan keberkesanannya.
Produk ini telah mendapat kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan kini dalam proses
pendaftaran untuk penilaian kualiti, keselamatan, dan keberkesanan.
Naib juara pertandingan ini, Bio Polyol pula membawa pulang RM80,000, manakala tempat ketiga diraih oleh Bakineer 2.0, dengan hadiah RM50,000.
Di tempat keempat, ReHad menerima ganjaran RM10,000, diikuti Puncture Proof Self-Healing Tyre di tempat kelima dengan RM5,000.
Anugerah Khas Juri turut diberikan kepada beberapa peserta, antaranya, Smilescope menerima pengiktirafan sebagai Saintis Muda Terbaik, Posture Manager diiktiraf dalam kategori Teknologi Kreatif, manakala Buccia Anguria dianugerahkan untuk Reka Cipta Lestari.
Pertandingan yang berlangsung sepanjang lapan episod ini menyaksikan finalis membentangkan produk inovasi masing-masing yang telah diperbaiki secara menyeluruh.
Bermula dengan 56 peserta, hanya lapan inovator terbaik setiap minggu berjaya mara ke pentas akhir setelah bersaing sengit dalam tujuh episod terdahulu.