'Bingit' dengar tangisan, bapa hentak bayi sendiri ke lantai hingga koma
Sinar Harian
Mac 10, 2018 10:29 MYT
Mac 10, 2018 10:29 MYT
Kerana bingit mendengar tangisan bayinya, seorang bapa tergamak bertindak menghentak bayinya ke lantai sehingga bayi itu koma, dan mengalami pendarahan otak.
Tindakan itu bagaimanapun mendapat pembalasan selepas Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun ke atas lelaki tersebut, Mohd Amri Ismail, 29.
Hakim Zaman Mohd Noor menjatuhkan hukuman tersebut ke atas gelandangan yang mengaku bersalah atas tuduhan cubaan membunuh bayi berusia empat bulan.
Ketika membuat keputusan itu, Zaman berkata, tindakan tertuduh boleh menyebabkan bayi yang masih kecil itu meninggal dunia.
“Mesej yang jelas perlu disampaikan kepada masyarakat agar penderaan kanak-kanak tidak menjadi kes yang berterusan,” katanya.
Mengikut pertuduhan, Mohd Amri didakwa telah melakukan cubaan bunuh bayi yang juga anak kandungnya itu yang menyebabkan kecederaan iaitu pendarahan otak akibat dihentak ke lantai.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di sebuah bilik tingkat 2, Jalan Lorong Haji Taib Chow Kit jam 7.30 petang, 4 November 2017.
Dakwaan ke atasnya dikemukakan mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara 10 tahun dan boleh didenda dan jika kesalahan itu menyebabkan kecederaan, dia boleh di penjara sehingga 20 tahun.
Sementara itu berdasarkan fakta kes, seorang doktor yang juga pengadu dalam kes itu menerima seorang pesakit iaitu seorang bayi daripada seorang ibu angkat yang memaklumkan bayi tersebut jatuh.
Hasil CT Scan ke atas mangsa mendapati terdapat pendarahan pada otak bayi tersebut dan berada dalam keadaan koma.
Hasil siasatan, didapati bapa kandung bayi itu telah menjaganya ketika ibu angkatnya tiada, dan kejadian tersebut telah dilihat oleh bapa angkat bayi tersebut.
Pihak pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Amira Sariaty Zainal memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal agar dapat memberi pengajaran kepada masyarakat kerana terdapat banyak kes penderaan dan pengabaian kanak-kanak.
“Sewajarnya seorang bapa menjaga dan melindungi anaknya namun tertuduh seolah-olah tidak sedar kelakuannya walaupun telah dihalang oleh abang angkatnya,” katanya.