'Bincang penubuhan jawatankuasa promosi pelancongan Islam' - Mas Ermieyati
Astro Awani
Oktober 27, 2015 13:17 MYT
Oktober 27, 2015 13:17 MYT
Kerajaan sedang membincangkan cadangan untuk penubuhan jawatankuasa khusus pelancongan Islam di antara anggota ASEAN.
Timbalan Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, ia dicadangkan untuk Sekretariat ASEAN sebagai salah satu inisiatif strategik dalam pembangunan dan mempromosi negara yang terlibat.
"Cadangan ini boleh juga dilihat sebagai pelengkap kepada Initiative for ASEAN Integration (IAI) yang telah dilancarkan pada November 2000 bagi membolehkan negara anggota ASEAN bergerak secara kolektif sebagai satu destinasi yang unik dan komprehensif," katanya semasa menghubungi Astro AWANI selepas Seminar Bersama Mengenai Pelancongan Islam (JoSIT) 2015 di Bandung, Indonesia.
Mas Ermieyati turut menyampaikan ucapan khas di majlis perasmian JoSIT 2015 berkenaan.
Ucaptama telah disampaikan Penasihat Kehormat kepada Menteri Pelancongan Indonesia yang juga merupakan Ahli Majlis Ekonomi Syariah Indonesia, Dr. H. Sapta Nirwandar.
Sementara upacara perasmian disempurnakan Penasibat Kanan Menteri Pelancongan Indonesia mewakili Menteri Pelancongan Indonesia, Syamsul Lusa.
Para penceramah dari Malaysia diwakili Ketua Pengarah Islamic Tourism Centre Zulkifly Md Said, Presiden BUMITRA, Datuk Mohd Syed Razif Al-Yahya Syed Yassin dan Pengarah Urusan Intratama Travel Consultant & Tours, Suhaimi Abd. Ghafer.
Edisi pertama JoSIT telah diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia, pada tahun 2014 melibatkan penyertaan peserta dari tujuh buah negara iaitu Indonesia, Iran, Maldives, Malaysia, Singapura, Sudan dan UAE.
Sementara JoSIT2015 telah dihadiri oleh 125 peserta dari 64 organisasi di mana 10 daripadanya merupakan agensi pelancongan Malaysia dan dua dari Sri Lanka.
Dalam pada itu Mas Ermieyati berharap, seminar itu dalam memberi pemahaman peserta dalam peluang serta potensi besar dalam pelancongan Muslim.
"Saya juga berharap agar seminar ini dapat menjadi satu platform untuk kita mempromosikan integrasi dan kerjasama di antara negara anggota ASEAN terutama sekali dalam pembangunan pelancongan Islam.
"Antara cadangan dan usul yang telah dibincangkan adalah berkenaan usahasama Indonesia-Malaysia di dalam mempromosikan pelancongan Islam dengan membangunkan secara kreatif pakej-pakej pelancongan bersama untuk pasaran antarabangsa.
"Para penggiat industri Indonesia juga mencadangkan supaya mencontohi konsep Malaysia dengan mewujudkan satu bahagian khusus untuk melihat kepada segmen pelancongan Islam bagi Indonesia," jelasnya.
Pelancongan Islam semakin mendapat tumpuan sebagai segmen utama yang berpotensi besar dan menarik dikalangan negara-negara Islam dan juga bukan Islam.
Indonesia dan Malaysia kini merupakan antara negara 10 teratas dalam pilihan destinasi mesra Muslim menurut pelbagai kajian dan soal selidik antarabangsa.