Bincang isu rasuah, SPRM sedia bertemu Anwar
Astro Awani
Mac 16, 2021 22:07 MYT
Mac 16, 2021 22:07 MYT
KUALA LUMPUR: Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Seri Azam Baki bersedia untuk menerima dan bertemu dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Jelasnya, beliau dan SPRM sendiri tidak mempunyai masalah untuk bertemu Anwar bagi membincangkan isu berkaitan rasuah.
“Saya tiada masalah... saya bersedia jika dia (Anwar) nak datang berjumpa,” katanya ketika dihubungi Astro AWANI malam ini.
Ditanya mengenai dakwaan tekanan siasatan ke atas ahli Parlimen PKR dan keinginan Anwar mahu SPRM bersungguh-sungguh membanteras rasuah, Azam bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
Terdahulu, pada sidang media di sebuah hotel terkemuka di Petaling Jaya, Anwar menyatakan hasratnya untuk menulis surat bagi mengadakan pertemuan dengan Azam susulan terdapat beberapa ahli Parlimen PKR ugutan dan sogokan.
Kata Anwar yang juga Presiden PKR, mereka mahu SPRM menjadi agensi yang tegas membanteras rasuah dan tidak dijadikan senjata politik.