Bincang dengan ibu bapa jika mahu naikkan yuran taska- Ismail Sabri
Astro Awani
Jun 10, 2020 14:39 MYT
Jun 10, 2020 14:39 MYT
PUTRAJAYA : Pengusaha taman asuhan kanak-kanak (taska) diingatkan supaya berbincang dengan ibu bapa jika berhasrat menaikkan yuran perkhidmatan mereka susulan peningkatan kos pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) premis itu.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menjelaskan, beliau yakin penyelesaian yang baik akan dicapai antara kedua-dua pihak melalui proses komunikasi yang baik.
Beliau turut mengakui pengusaha taska juga seperti pemilik premis lain yang terpaksa menanggung kenaikan kos berikutan SOP baharu bagi mengekang penularan COVID-19.
"Kita tahu bahawa mereka perlu buat berbagai-bagai... seperti untuk mensanitasi taska mereka seperti di tempat lain, sebagai contoh kedai gunting rambut. Baru-baru ini mereka minta naikkan harga sebab banyak tanggung kos sebab perlu sediakan apron pakai buang... jadi mesti ada kos.
"Bagi taska ini, saya harap mereka boleh berbincang dengan ibu bapa dan memberikan penjelasan kepada ibu bapa kenapa perlu ada peningkatan kos dan sebagainya. Kalau ada penjelasan mungkin tiada isu selepas itu," katanya dalam sidang media harian di sini pada Rabu.