Bina taman khas untuk kucing jalanan

Sinar Harian
Oktober 29, 2021 09:36 MYT
Muhamad Arafat menunjukkan kucing dan bekas makanan yang disediakan oleh pengunjung Pasar Awam Tanjung Rambutan untuk kucing jalanan di kawasan berkenaan. - Foto Sinar Harian
IPOH: Satu taman khas untuk kucing jalanan dicadangkan dibina di Pasar Awam Tanjung Rambutan bagi mengawal haiwan peliharaan yang dibuang di kawasan tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Kinta, Muhamad Arafat Varisai Mahamad berkata, cadangan tersebut telah dikemukakan secara bertulis kepada Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) untuk dipertimbangkan.
Menurutnya, rungutan diterima sebelum ini daripada peniaga apabila kehadiran kucing jalanan itu menyebabkan kawasan pasar menjadi kotor kerana najis haiwan tersebut.
"Kita lihat taman kucing ini jalanan di pasar ini. Idea ini kita ambil selepas melihat beberapa negeri lain melaksanakan cara mereka mengatasi kucing jalanan ini.
"Dalam melaksanakan idea ini, soal kos penjagaan taman ini menjadi perkara penting dan pihak Pejabat ADUN Hulu Kinta sedia membantu sebahagian kos untuk menjaga taman kucing berkenaan," katanya kepada pemberita selepas hadir ke Majlis Sesi Dialog Bersama Para Peniaga dan Penjaja Kecil Pasar Awam Tanjung Rambutan, di sini pada Khamis.
Beliau berkata, dianggarkan hampir 100 ekor kucing jalanan berada di pasar awam berkenaan namun pihak MBI membuat tangkapan secara berkala bagi mengawal jumlah kucing tersebut.
Sementara itu, Muhamad Arafat berkata, pihaknya telah mengenalpasti dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang akan membantu menguruskan taman kucing itu nanti.
Katanya, jika idea tersebut direalisasikan, ia akan menjadi taman kucing dalam pasar pertama di daerah Kinta yang diwujudkan.
Sementara itu, Ahli Majlis MBI, Puteri Holijah Muhamad Rali berkata, cadangan mewujudkan taman kucing itu masih perlu diteliti dari aspek keselamatan, kos dan sebagainya.
Menurutnya, kaedah pelaksanaan juga perlu diperhalusi bagi mengelak sebarang pengabaian haiwan peliharaan itu.
* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.
#kucing #taman khas #Pasar Awam Tanjung Rambutan #Muhamad Arafar Varisai Mahamad
;