Bina masjid sendiri, jangan harapkan bantuan - Tun M

Adie Sufian Zulkefli
Mei 25, 2019 04:23 MYT
Dr Mahathir menyampaikan sumbangan kepada golongan asnaf pada majlis berbuka puasa di Masjid An Najah, Ayer Hitam, Jerlun pada Sabtu. - BERNAMA
Tun Dr Mahathir Mohamad mengajak penduduk di negara ini untuk membangunkan masjid di kawasan masing-masing tanpa mengharapkan bantuan daripada mana-mana pihak ataupun pihak kerajaan.
Kata Perdana Menteri, beliau pernah ke beberapa negara Islam seperti Mahgribi dan Khazakstan yang mempunyai masjid yang sangat cantik dan indah.
Menurutnya, semua itu dilakukan sendiri oleh penduduk tempatan.
“Masjid-masjid yang didirikan, kebanyakannya oleh orang tempatan itu sendiri. Mereka tidak bergantung kepada orang lain, jauh sekali bergantung kepada orang yang seagama dengan mereka.
“Mereka sanggup bertungkus-lumus bukan sahaja mendirikan masjid tetapi juga menghiaskan masjid dengan pelbagai cara, supaya masjid mereka itu adalah antara yang terbaik di dunia,” kata Dr Mahathir.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Berbuka Puasa Bersama Perdana Menteri di perkarangan Masjid An-Najah di Ayer Hitam dekat Jitra, Kedah pada Sabtu.
Turut hadir isteri Perdana Menteri, Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.
Sementara itu, rata-rata rakyat menerima baik saranan Perdana Menteri itu.
“Orang Islam bangun dengan kudrat sendiri, dengan gaya sendiri, bukan mengharap semua permintaan sumbangan dan sebagainya. Islam sebenarnya mengajar kita untuk berusaha,” kata Timbalan Pengerusi MPN Keadilan Kedah, Dzaher Ahmad.
“Kita kena bangunkan daya saing orang Islam, tunjuk pada masyarakat dunia bahawa orang Islam mampu bina masjid,” katanya ketika ditemui.
Bagi Ketua Publisiti dan Penerangan Pakatan Harapan, Amin Yahya, beliau berpendapat Dr Mahathir sangat prihatin terhadap agama Islam.
“Itulah watak atau wajah sebenar Tun, agama Islam sentiasa dekat di hati. Dengan adanya pengalaman dirinya, dia berkongsi dengan kita,” katanya.
#Islam #Mahathir Mohamad #pembinaan masjid
;