Bina ekosistem AI, segera rencana pendekatan pendidikan - PM

Hasimi Muhamad
Mei 10, 2024 12:29 MYT
Perdana Menteri ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). - Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim menggesa semua pihak termasuk di peringkat universiti untuk membina ekosistem kecerdasan buatan (AI), sekali gus memperkukuhkan teknologi berkenaan dalam negara.
Perdana Menteri berkata, perlu wujud rencana segera seperti mengubah pendekatan dalam pendidikan agar ia tidak membosankan tanpa meminggirkan penekanan terhadap penguasaan Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.
Jelas Anwar, tenaga pengajar dan para profesor disaran berinteraksi bagi meningkatkan mutu kemahiran dalam sistem pendidikan.
“Ini cabaran-cabaran yang harus kita tangani, mungkin pendekatan pengajaran melalui AI yang baharu, yang mempersonakan dan mengagumkan tetapi yang pentingnya matlamat harus kembali memberi penekanan supaya sebahagian besar anak-anak kita mulai menguasai Matematik dan Sains.
“Tetapi ada lagi kekurangan dan kelemahannya iaitu peringkat kemahiran, keterampilan, kepakaran dan pengkhususan yang diperlukan perlu ada ruang yang perlu diisi,” katanya.
Perdana Menteri berucap pada Majlis Perasmian Program Malaysia Artificial Intelligence (AI) Nexus 2024 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini pada Jumaat.
Hadir sama antaranya Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Datuk Ahmad Fauzi Ismail.
Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) juga perlu memikirkan bagaimana menambah mutu kemahiran para graduan melalui Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Jelas Anwar, institusi pengajian tinggi tperlu melahirkan lebih ramai graduan jurutera memandangkan Malaysia ketika ini kekurangan sekitar 30,000 jurutera.
Dalam pada itu, Anwar turut menekankan tiga teras dalam ekosistem AI negara iaitu Governance AI untuk memastikan ekosistem inovasi AI yang sistematik.
Selain itu, Pemangkin AI melalui Malaysia Artificial Intelligence Consortium untuk mewujudkan pelarasan dalam bidang pendidikan, pembangunan dan aplikasi AI.
“Ketiga, Industri AI dengan kerjasama melibatkan Syarikat Multi Nasional (MNC) dan Bakat AI merangkumi individu yang mempunyai kemahiran dalam AI,” ujar Perdana Menteri.
Pada majlis sama, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) UTM, yang pertama dalam negara turut dilancarkan sebagai penyedia Pendidikan AI.
#Anwar Ibrahim #AI #ekosistem kecerdasan #pendidikan
;