Bina dua jambatan, Sarawak teruskan agenda pembangunan pesisir pantai
Astro Awani
Jun 11, 2020 20:15 MYT
Jun 11, 2020 20:15 MYT
Setelah tertangguh lebih tiga bulan sejak Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP) yang dilaksanakan pada Mac lepas, Sarawak kini dapat menggerakkan semula projek pembangunan di kawasan pesisir pantai negeri tersebut.
Menurut Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dalam lawatannya ke Pusa, Betong, penangguhan sebelum ini bukan disebabkan faktor kos pembinaan.
“Kos tidak memberi kesan. Projek itu hanya terjejas dari sudut pembinaan disebabkan ianya terhenti dalam masa tiba bulan (tempoh PKP).
"Tetapi kita memulakan projek ini semula secara berperingkat dan kita akan merancakkan kembali ekonomi khasnya di kawasan luar bandar,” katanya.
Tambah beliau, salah satu projek yang diberi tumpuan adalah pembinaan jambatan Sungai Krian dan jambatan Saribas.
Dalam masa sama, beliau sedar akan cabaran yang dihadapi pekerja sepanjang menjalankan proses pembinaan, Abang Johari turut mengingatkan pihak kontraktor mengamalkan garis panduan yang telah ditetapkan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak agar risiko COVID-19 dapat dikurangkan di lapangan.
“Kita akan memastikan ada kawasan khas bagi menempatkan pekerja agar mereka dapat tinggal di sana. Mereka hendaklah diuji suhu terlebih dahulu dan menggunakan alatan bersesuaian (sebelum bertugas),” ujarnya.
Sementara itu, bagi Menteri Muda Pembangunan Pelabuhan dan Infrastruktur, Datuk Julaihi Narawi, manfaat dari pembangunan tersebut sememangnya dapat dirasai oleh penduduk setempat kerana mereka tidak lagi perlu menggunakan feri untuk merentas ke kawasan seberang sungai.
“Kedua-dua jambatan ini akan menggantikan kemudahan feri. Jambatan Batang Saribas akan menggantikan kemudahan feri di Pusa.
Manakala, Sungai Krian pula akan mengganti kemudahan feri di Krian. Kita berharap ia akan memberi impak yang besar kepada pembangunan kawasan pesisir,” jelasnya ketika hadir sama dalam tinjauan projek itu di Betong.
Di samping itu, penduduk yang ditemu bual, Kamaluddin Mohd Ranbli menzahirkan rasa gembira dengan pembinaan jambatan-jambatan tersebut kerana ia membolehkan kegiatan ekonomi penduduk berjalan lancar.
“Jambatan-jambatan ini bakal memberi manfaat kepada penduduk khasnya pekebun untuk memasarkan hasil tani mereka,” katanya.
Untuk rekod, projek pembinaan jambatan Sungai Krian menelan kos sebanyak RM174 juta dan merentasi jarak sepanjang 300 meter. Ini sekaligus melengkapkan jaringan yang terputus sepanjang jalan pesisir termasuk kawasan Asajaya, Sadong Jaya, Sebuyau, Maludam, Kabong, Bintulu dan Miri.
Manakala, jambatan Batang Saribas sepanjang 1.55 kilometer pula bakal menelan belanja RM496 juta.
#Astro Awani
#AWANI Sarawak
#Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
#Jambatan Saribas
#Jambatan Sungai Krian
#Ketua Menteri Sarawak