Bina bonggol: Jangan ambil tindakan sendiri - Lee Lam Thye

Umavathi Ramayah
Januari 15, 2021 12:13 MYT
Nor Muhamad Roslam Harun telah memohon maaf dan mengakui kesilapannya membina bonggol yang banyak dalam jarak tidak sampai 40 meter sehingga menyusahkan penduduk untuk keluar masuk ke jalan utama. - Gambar fail/BERNAMA
KUALA LUMPUR : Penduduk setempat diminta supaya tidak mengambil tindakan sendiri termasuk membina bonggol bagi mengatasi masalah pergerakan kenderaan laju di kawasan perumahan mereka.
Sebaliknya, Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, mereka boleh mengemukakan aduan kepada Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
"Itu memang hak penduduk, sekiranya berasakan aspek keselamatan mereka terancam, mereka boleh menghubungi PBT untuk mengambil tindakan dan ia adalah sebahagian daripada tanggungjawab pihak berkenaan.
"Sekiranya mana-mana penduduk membuat bonggol jalan tanpa kebenaran PBT, ia adalah merupakan satu kesalahan," katanya ketika dihubungi Astro AWANI di sini, pada Jumaat.
BACA: Lelaki bina 11 bonggol di atas jalan akhirnya mohon maaf
Beliau berkata demikian sebagai mengulas tindakan seorang lelaki yang menimbulkan kekecohan kerana membina 11 bonggol dengan jarak 40 meter di atas jalan di tepi rumahnya di Kampung Padang Luas, Jertih, Besut.
Video tersebut tular di laman sosial apabila seorang invididu berkongsi gambar jalan masuk ke rumahnya yang dibina bonggol baharu menggunakan tar dan menyatakan bonggol tersebut dibina oleh jirannya.
Bonggol yang dibina tinggi itu tidak boleh dilalui semua kereta kecuali pacuan empat roda.
Ekoran itu, polis meminta lelaki tersebut supaya meratakan kembali kesemua bonggol yang dibelanjakan kira-kira RM1,080 menggunakan wang i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Mengulas lanjut, Lam Thye meminta PBT supaya meneliti kawasan-kawasan perumahan yang berhampiran dengan jalan raya.
"Adalah penting bagi PBT untuk membuat kajian sejauh mana penduduk di kawasan berkenaan rasa selamat," tambahnya lagi.
Pada masa yang sama, selain bonggol, beliau mencadangkan agar PBT meletakkan papan tanda had kelajuan dengan di kawasan-kawasan perumahan yang dikenalpasti.
"Jadi aspek keselamatan tidak boleh dikompromi dan sehubungan ini, PBT perlu mengutamakan keselamatan dan apa jua permintaan penduduk," jelasnya lagi.
#bonggol #Tular #Ikatan Komuniti Selamat #Lee Lam Thye #pihak berkuasa tempatan #pbt #jalan berlubang #lalu lintas #papan tanda had laju #bina bonggol #i-sinar #KWSP
;