Bimbang sepanjang masa: Adakah ia satu penyakit?

Dr Firdaus Abdul Gani
Jun 7, 2020 10:00 MYT
Perasaan bimbang adalah normal tetapi sekiranya ia berlanjutan dengan sangat ketara sehingga menjejaskan fungsi harian, maka ia bukan lagi dianggap kebimbangan biasa. - Flickr.com
KEBIMBANGAN (worrying) adalah reaksi normal kepada tekanan dan boleh menjadi bermanfaat dalam sesetengah keadaan seperti ketika menghadapi peperiksaan atau dalam situasi berisiko di mana ia menjadikan kita lebih berhati-hati dan bersedia.
Perasaan bimbang biasanya bersifat sementara dan antara situasi yang mencetuskan kebimbangan kepada kebanyakkan individu adalah seperti menunggu keputusan peperiksaan, menjalani pemeriksaan kesihatan atau bercakap di khalayak ramai.
Perasaan bimbang seperti ini adalah normal tetapi sekiranya ia berlanjutan dengan sangat ketara sehingga menjejaskan fungsi harian, maka ia bukan lagi dianggap kebimbangan biasa.
Apabila kebimbangan ini berlebihan (excessive worrying), sukar dikawal serta menyebabkan anda sentiasa berasa risau tentang pelbagai perkara atau aktiviti sekeliling, maka anda mungkin mengalami kecelaruan keresahan menyeluruh atau "Generalised Anxiety Disorder (GAD)”.
Di Malaysia, kajian Morbiti Kebangsaan Ke-IV atau "National Health Morbidity Survey IV" (NMHS IV) yang telah dijalankan pada tahun 2011 ke atas orang dewasa yang berusia 16 tahun ke atas mendapati bahawa kadar prevalens kecelaruan keresahan menyeluruh adalah sebanyak 1.7 peratus.
Kadar ini adalah hampir sama dengan kadar yang dicatatkan di peringkat antarabangsa iaitu di antara 1.9 peratus sehingga 2.5 peratus.
Menerusi laporan ini, wanita muda (berusia di antara 16 sehingga 24 tahun) mempunyai kadar yang tinggi di samping mereka yang berbangsa India, bujang, balu, bercerai serta mereka yang mempunyai tahap pendidikan tinggi.
Tanda-tanda kecelaruan keresahan menyeluruh
Mengikut "Diagnostic and Statistical Manual Of Mental Disorders Fifth Edition (DSM-5)’’ oleh American Psychiatric Association, diagnosis kecelaruan keresahan menyeluruh memerlukan kriteria berikut:
1) Gejala keresahan yang berlangsung pada kebanyakkan hari selama sekurang-kurangnya enam bulan melibatkan pelbagai perkara atau aktiviti.
2) Sukar untuk mengawal kebimbangan tersebut.
3) Mempunyai sekurang-kurangnya tiga daripada gejala berikut:
- Perasaan resah atau sukar bertenang
- Keletihan
- Sukar fokus atau menumpukan perhatian
- Cepat berasa marah
- Ketegangan otot
- Gangguan tidur (seperti sukar tidur atau tidur yang sering terganggu).
4) Gejala yang berlaku menjejaskan fungsi harian seseorang individu.
5) Gejala tersebut bukanlah disebabkan oleh sebarang penyakit fizikal atau pengambilan dadah.
6) Gejala tersebut tidak boleh dijelaskan olen penyakit mental yang lain.
Terdapat beberapa faktor yang menyumbang kepada seseorang itu untuk mengalami penyakit ini
1) Genetik atau keturunan: Individu yang mempunyai ahli keluarga yang menghidapi penyakit kecelaruan keresahan mempunyai risiko yang lebih tinggi, terutamanya jika ia melibatkan keluarga terdekat seperti ibu bapa, adik beradik atau anak.
2) Ketidakseimbangan bahan kimia (neurotransmitter) di dalam otak. Bahan kimia utama yang sering dikaitkan ialah serotonin dan norepinephrine.
3) Personaliti diri: Individu yang selalu inginkan kesempurnaan dan sensitif adalah lebih cenderung untuk mendapat penyakit ini.
4) Sejarah hidup yang negatif. Contohnya, Mereka yang pernah mengalami penderaan fizikal/mental atau kehilangan ibu bapa sewaktu kecil.
5) Tekanan hidup seperti masalah kewangan, pekerjaan ataupun masalah keluarga.
6) Pengambilan alkohol, kaffein atau dadah.
Rawatan
1) Ubatan
Resakit akan diberi ubatan anti-kemurungan yang turut berfungsi untuk merawat keresahan. Ia berfungsi untuk menyeimbangkan paras bahan kimia terutamanya Serotonin di dalam otak.
Biasanya pesakit turut diberikan ubatan penenang jenis benzodiazepine yang memberikan kesan tenang lebih cepat kerana ubatan anti-kemurungan mengambil masa secara purata dua minggu untuk menunjukkan kesan.
Bagaimanapun, ubatan benzodiazepine adalah untuk jangka pendek sahaja dan perlu dikawal bagi mengelakkan kesan kebergantungan kepada ubatan tersebut.
2) Psikoterapi
Pesakit juga boleh menjalani sesi psikoterapi di mana mereka akan dibimbing untuk mengenalpasti masalah serta cara penyelesaian di samping mengenalpasti serta menangani fikiran negatif.
Pesakit juga digalakkan untuk meluahkan kebimbangan dengan betul serta diberikan sokongan. Antara jenis psikoterapi yang berkesan adalah terapi kognitif-tingkah laku atau "Cognitive Behavioral Therapy (CBT)”.
3) Teknik relaksasi
Teknik kawalan pernafasan, meditasi dan relaksasi otot dapat membantu mengurangkan keresahan.
4) Pengamalan gaya hidup sihat
Kaedah ini membantu mengurangkan tekanan dan keresahan. Ini termasuklan pengambilan makanan yang sihat, melakukan aktiviti fizikal, tidur yang cukup, kurangkan minuman berkaffein serta elakkan pengambilan dadah atau alkohol.
Kesimpulannya, kebimbangan berterusan bukanlah sesuatu yang normal. Ia merupakan satu penyakit mental yang dikenali sebagai kecelaruan keresahan menyeluruh.
Ia boleh dirawat dan rawatan awal dapat membantu pesakit sembuh dengan lebih cepat. Terdapat risiko berlakunya kemurungan jika penyakit ini tidak dirawat dengan sewajarnya.
Rujukan :
American Psychiatric Association (2013). Diagnostic And Statistical Manual Of Mental disorders Fifth Edition: DSM-5. Washington DC; APA
Institute for Public Health. Non-communicable diseases [Internet] II. Kuala Lumpur: Ministry of Health Malaysia; 2011. The fourth National Health and Morbidity Survey 2011 (NHMS IV 2011)

* Penulis adalah Setiausaha Persatuan Psikiatri Malaysia (MPA)
** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI
#bimbang #Dadah #gaya hidup sihat #kajian Morbiti Kebangsaan #kecelaruan #kesihatan #NMHS #normal #pemeriksaan kesihatan #pendidikan #peperiksaan #psikologi #psikoterapi #tekanan #wanita muda
;