Bimbang kena penalti cukai? Ini antara sebab anda tidak perlu 'takut' dengan LHDN
Nursyazwani Saiful Sham
Oktober 8, 2020 07:30 MYT
Oktober 8, 2020 07:30 MYT
RAKYAT Malaysia yang masih gagal melaksanakan tanggungjawab membayar cukai digesa segera tampil secara sukarela.
Namun, orang ramai tidak perlu bimbang atau ‘takut’ terhadap penalti yang dikenakan oleh Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Berikut adalah antara sebab mengapa orang ramai tidak perlu gusar;
1) Penalti yang dikenakan jika tampil secara sukarela lebih rendah
Ini kerana menurut Ketua Pegawai Eksekutif LHDN, Datuk Seri Dr Sabin Samitah, penalti yang dikenakan adalah lebih rendah berbanding jika LHDN terlebih dahulu mengambil tindakan.
“Saya ingin menasihati mereka yang masih gagal melaporkan pendapatan mereka dan yang gagal membuat bayaran.
"Saya minta mereka untuk datang secara sukarela ke mana-mana pejabat kami.
“Penalti yang akan dikenakan kepada kesilapan itu adalah lebih rendah berbanding penalti jika pihak LHDN yang mengeluarkan tindakan pemeriksaan,” jelasnya.
2) ‘Youtuber’ dan peniaga dalam talian dikenakan cukai sama seperti perniagaan tradisional
Pada masa sama, penggiat YouTube atau lebih sinonim dengan panggilan 'YouTuber' dan mereka yang menjalankan perniagaan dalam talian digesa mendaftar sebagai pembayar cukai.
Jelas Dr Sabin Samitah, kaedah mengenakan cukai terhadap mereka adalah sama seperti yang dikenakan ke atas perniagaan secara tradisional.
“Saya ingin mencadangkan kepada para ‘YouTuber’ dan mereka yang melakukan perniagaan dalam talian untuk mendaftar sebagai pembayar cukai.
“Ini kerana kaedah mengenakan cukai adalah sama dengan perniagaan yang tradisional juga, di mana mereka layak untuk menuntut sebarang perbelanjaan yang dibenarkan dan jika ada elaun modal yang boleh dituntut,” ujarnya.
3) Notis LHDN lebih mesra ketika ini
Sementara itu, Dr Sabin Samitah memaklumkan kurang pengetahuan tentang kepentingan pembayaran cukai antara punca masih ada yang mengelak atau gagal melaksanakan tanggungjawab itu.
Ujarnya, organisasi itu kini lebih mesra untuk memastikan rakyat menjalankan tanggungjawab mereka.
“Dalam menangani isu mereka yang mengelak dalam pembayaran cukai, kami ingin menjelaskan LHDN menawarkan perkhidmatan yang lebih berkesan.
“LHDN akan mengambil langkah yang lebih tegas, namun surat atau notis yang kami keluarkan kini adalah lebih mesra dengan menggunakan intonasi yang lebih mesra berbaning intonasi surat yang dikeluarkan beberapa tahun dahulu,” katanya.
Beliau berkata demikin dalam temu bual menerusi rancangan Agenda AWANI yang membincangkan transformasi seiring peredaran zaman, tegas dan telus serta manfaat pembayaran cukai kepada pembangunan ekonomi negara yang bersiaran pada Khamis malam.
Saksikan rancangan penuh di bawah:
#LHDN
#Lembaga Hasil Dalam Negeri
#penggiat Youtube
#perniagaan dalam talian
#Datuk Seri Dr Sabin Samitah
#penalti cukai
#tampil secara sukarela