Bimbang hilang kerja, tiada masa, alasan rakyat enggan buat saringan kesihatan
Amirrul Rabbani
Julai 1, 2022 17:54 MYT
Julai 1, 2022 17:54 MYT
KUALA KANGSAR: Bimbang kehilangan pekerjaan dan tiada masa menjadi antara alasan kebanyakan rakyat di negara ini memilih untuk tidak membuat saringan kesihatan
Pengurus PeKa B40, ProtectHealth Corporation Sdn Bhd. (ProtectHealth), Dr Nor Hasanah Mardhiah Mohd Nor berkata, walaupun kerajaan telah memperkenalkan program Saringan Kesihatan Percuma di bawah Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 atau PeKa B40, masih ramai rakyat di negara ini enggan berbuat demikian.
Menurut beliau, dianggarkan 35 ke 40 peratus individu yang menjalani saringan kesihatan di bawah inisiatif berkenaan sejak 2019, dikesan menghidapi sekurang-kurangnya satu penyakit tidak berjangkit (NCD).
Antara penyakit yang dikesan ialah kencing manis, darah tinggi, kolesterol tinggi serta kanser.
“Setiap tahun lebih kurang 35 hingga 40 peratus, sekurang-kurangnya pesakit yang kita saring mempunyai salah satu penyakit tidak berjangkit, jumlah itu agar besar.
“Sebenarnya, apabila kita dapat melakukan pengesanan penyakit yang sebelum ini mungkin kita tidak sedar menghidapnya, ia adalah bagus untuk kita membuat langkah pencegahan awal,” katanya.
Dr Nor Hasanah berkata demikian ketika ditemui pada Program Saringan Kesihatan Peka B40 anjuran Pejabat Parlimen Kuala Kangsar bersama-sama Aeromedical Global dan ProtectHealth di sini pada Jumaat.
Hadir sama, Ahli Parlimen Kuala Kangsar, Datuk Mastura Mohd Yazid.
Justeru, Dr Nor Hasanah menyaran, lebih ramai rakyat di negara ini dapat melakukan saringan kesihatan di bawah program Saringan Kesihatan Percuma PeKa B40.
Katanya, ProtectHealth, Kementerian Kesihatan (KKM) dan semua pihak harus menggembleng tenaga ke arah mengubah persepsi rakyat Malaysia tentang keperluan untuk menjalani saringan kesihatan.
Ujarnya usaha berkenaan sejajar dengan hasrat Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin di bawah inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan yang akan dilancarkan dalam tempoh terdekat.
“Apabila saringan kesihatan awal dapat dibuat, kita boleh mengelakkan sebarang komplikasi yang lebih buruk terhadap penyakit-penyakit NCD ini.
“Ia seterusnya akan memberi ruang kepada individu yang disaring itu untuk membuat langkah menguruskan kesihatan diri dengan lebih baik,” jelasnya lagi.
Sementara itu, Ketua Penganjur Utama yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Aeromedical Global, Kamarollzaman Mohd Isa berkata, selain di Kuala Kangsar program sama juga akan berlangsung di Buntong, Ipoh pada Sabtu.
Selain itu, penganjurannya juga akan diperluaskan ke Selangor, Pahang, Sabah dan Sarawak dalam masa terdekat.