Bill Cosby sekali lagi disaman dakwaan terbaharu serangan seksual
Bernama
Jun 2, 2023 13:52 MYT
Jun 2, 2023 13:52 MYT
PHILADELPHIA: Bill Cosby menghadapi satu lagi saman serangan seksual yang difailkan oleh bekas model Playboy Victoria Valentino, yang mendakwa pelawak itu memberikan dadah dan merogolnya pada 1969, lapor agensi berita Jerman (dpa).
Valentino, 80, memfailkan kes itu di Mahkamah Tinggi Daerah Los Angeles pada Jumaat mengikut undang-undang baharu yang membatalkan sementara statut had ke atas kes sivil berkaitan serangan seksual.
Undang-undang itu yang tamat pada akhir tahun ini membenarkan orang yang mendakwa mereka diserang sebagai orang dewasa, memfailkan saman sivil tanpa mengira bila kejadian itu berlaku.
Valentino menyaman Cosby atas serangan seksual dan seks tanpa kerelaan. Saman itu menuntut ganti rugi am, khas dan punitif yang tidak dinyatakan, serta yuran guaman dan kos mahkamah.
Saman itu juga mensasarkan sehingga 20 defendan yang tidak dinamakan, termasuk ejen dan pekerja lain yang didakwanya membantu Cosby.
Cosby, 85, sebelum ini disabitkan bersalah melakukan serangan seksual terhadap bekas jurulatih bola keranjang Temple University, Andrea Constand pada 2004 di mahkamah Montgomery County pada 2018.
Beliau dijatuhi hukuman penjara tiga hingga 10 tahun dalam kes itu, tetapi dibebaskan selepas hampir tiga tahun apabila Mahkamah Agung Negeri Pennsylvania membatalkan sabitannya pada 2021.
Sekurang-kurangnya 60 wanita menuduh penghibur itu melakukan serangan seksual, gangguan atau rogol.
Tahun lalu, Cosby didapati bertanggungjawab dalam kes sivil di Santa Monica, California, di mana juri mendapati dia melakukan serangan seksual terhadap Judy Huth ketika dia masih di bawah umur pada pertengahan 70-an.
-- BERNAMA