Bilik siasatan jenayah narkotik IPD Timur Laut terbakar

Dewi Nur Harasha Alias
Januari 25, 2021 08:53 MYT
Bilik di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, IPD Timur Laut Pulau Pinang yang terbakar pagi tadi. -Foto JBPM
GEORGE TOWN: Sebuah bilik di Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik (BSJN) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di sini terbakar pagi Isnin.
Menurut Pegawai Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat Jalan Perak, A’Azelan Hassan, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian kira-kira jam 7.55 pagi sebelum sepasukan anggota bergegas ke lokasi kejadian.
Setiba di lokasi, didapati sebuah bilik yang berada di tingkat empat bangunan berkenaan terbakar 40 peratus.
"Sebaik tiba di lokasi, anggota bomba mendapati api sedang marak, namun api berjaya dikawal sekitar jam 8.15 pagi tadi dan tiada mangsa yang terlibat dalam kejadian itu."
"Anggota bomba berjaya mengawal kebakaran dari merebak dan pihak bomba juga masih menyiasat punca kebakaran berlaku," katanya dalam kenyataan hari ini.
Siasatan awal mendapati kebakaran dipercayai berlaku jam 7.50 pagi.
Tiada sebarang kecederaan mahupun kemalangan jiwa dilaporkan.
A'Azelan berkata operasi pemadaman dilakukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, BBP Paya Terubong, dan BBP Lebuh Pantai.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong ketika dihubungi mengesahkan kejadian.
#IPD Timur Laut #kebakaran #JSJN #JBPM #Ketua Polis Daerah #Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik #BSJN #ibu pejabat polis daerah #A Azelan Hassan
;