Bilik pentadbiran IPD Sepang terbakar
Bernama
Mac 22, 2022 22:34 MYT
Mac 22, 2022 22:34 MYT
SEPANG: Tingkat satu Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang di sini yang menempatkan bilik pentadbiran, dilaporkan terbakar hari ini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Norazam Khamis ketika dihubungi Bernama berkata 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat KLIA dikejarkan ke lokasi kejadian, selepas menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada pukul 6.15 petang.
"Api berjaya dipadamkan dalam masa 30 minit dan tiada mangsa dilaporkan cedera dalam kebakaran itu," katanya.
Ketua Polis Daerah Sepang ACP Wan Kamarul Azran Wan Yusof turut mengesahkan kejadian kebakaran di IPD itu dan siasatan lanjut sedang dijalankan.
Hari ini tular di media sosial video yang memaparkan kejadian kebakaran di sebuah bilik di tingkat satu IPD Sepang, selain beberapa video lagi memaparkan kebakaran dan kepulan asap hitam kelihatan dari luar IPD tersebut.
-- BERNAMA