Bilik hotel kurang, benar AirBNB operasi: MBI sedia bincang dengan MyBHA

Aida Aziz
Februari 15, 2024 07:30 MYT
Rumaizi mempengerusikan Mesyuarat Penuh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Dewan Mesyuarat MBI, Ipoh, semalam. --fotoBERNAMA
IPOH: Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin sedia berbincang dengan Persatuan Hotel Budget Malaysia (MyBHA) Perak bagi menyelesaikan kemelut isu perkhidmatan Airbnb di bandar raya ini.
Katanya, pertemuan antara Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) dan wakil MyBHA Perak itu juga penting dalam memberi pencerahan berhubung isu kekurangan bilik hotel bagi menampung pengunjung ke Ipoh.
"Yang itu (isu benarkan Airbnb dan inap desa beroperasi, selain kekurangan bilik hotel) kena bincang. Saya perlu bincang semula dengan MyBHA.
"Perkara itu ada pro dan kontra. Kalau kita tidak buat sesuatu, Airbnb tetap akan berkembang. Begitu juga inap desa. Sekiranya kita tak lesenkan dan berlaku apa-apa pada kedua-dua itu, masalah juga.
"Namun permintaan pada mereka juga tinggi. Apa pun, kita kena bincang dahulu. Tiada masalah untuk berbincang, sebab kalau ikutkan modul pelaburan, kita dapat banyak daripada industri perhotelan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Penuh MBI Februari, di sini, semalam.
Sebelum ini, beliau pernah menyuarakan isu kekurangan bilik hotel di Ipoh susulan kehadiran pengunjung yang mendadak khususnya musim perayaan dan hujung minggu.
Diminta mengulas lanjut mengenai kenyataannya itu berhubung keperluan Airbnb dan inap desa bagi penyelesaian jangka pendek, Rumaizi berkata beliau tetap dengan pendiriannya.
"Bagi saya, ia perlu. Kerana, mengikut rekod, permintaan itu tinggi. Kalau kita hentikan mereka, jadi isu lain pula.
"Berkenaan hotel tidak mencukupi pula, ia berdasarkan pembahagian pasaran, mungkin mengikut MyBHA itu lain. Tetapi untuk hotel lima bintang, memang tidak cukup.
"Contohnya, menurut laporan Kementerian Pengangkutan, lebih 500,000 pengunjung ke sini. 300,000 daripada itu membabitkan warga asing. Pasaran mereka menjurus kepada hotel empat dan lima bintang.
"Orang Singapura atau Indonesia yang kaya, mereka tidak mahu menginap di hotel bajet," katanya.
Terdahulu, media melaporkan MyBHA Perak mengesahkan bilik hotel hotel di sekitar bandar raya ini masih mencukupi untuk menampung kehadiran pelancong terutama pada hujung minggu.
Pengerusinya Zamari Muhyi berkata, sehubungan itu keputusan MBI membenarkan perkhidmatan Airbnb dan inap desa beroperasi untuk menampung keperluan penginapan adalah tidak wajar dilaksanakan.
#Airbnb #Rumaizi Baharin #MyBHA #industri perhotelan
;