Bilik darjah SK Lahar Yooi terbakar
Dewi Nur Harasha Alias
Februari 5, 2024 11:15 MYT
Februari 5, 2024 11:15 MYT
TASEK GELUGOR: Sebuah kelas di Sekolah Kebangsaan (SK) Lahar Yooi, Tasek Gelugor dilaporkan terbakar pada pagi Isnin.
Tiada murid mahupun pihak sekolah terlibat namun struktur bangunan kelas, kerusi serta peralatan meja di dalam kelas berkenaan terbakar.
Menurut Pegawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM), Mohammad Fikhri Abdul Aziz, ketika kejadian tiada murid di dalam kelas kerana mengikuti satu program yang diadakan di dewan sekolah.
"Kejadian disedari oleh tukang kebun dan tukang cuci sekolah dan bernasib baik kerana murid ketika itu berada di dewan sekolah," katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu Mohammad Fikhri memaklumkan pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 8.06 pagi dan bergegas ke lokasi kejadian.
Sebaik tiba Bomba mendapati kebakaran melibatkan bilik berkeluasan 20x20 kaki persegi( kelas A) dengan peratusan kemusnahan sebanyak 10 peratus.
Setakat ini, punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan pihak Forensik Bomba.
Operasi pemadaman dilakukan jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Tasek Gelugor dan dibantu jentera dari Butterworth.