Bilik asrama perempuan USAS terbakar

Aida Aziz
Disember 16, 2023 07:45 MYT
Bilik asrama perempuan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di Kuala Kangsar, musnah terbakar sebanyak 80 peratus dalam kejadian kebakaran malam tadi. - Gambar ihsan JBPM Perak
KUALA KANGSAR: Bilik asrama perempuan Universiti Sultan Azlan Shah (USAS) di sini, musnah terbakar sebanyak 80 peratus dalam kejadian kebakaran malam tadi.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 9.34 malam.
Katanya, anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Kangsar dibantu BBP Sungai Siput kemudiannya dikejarkan ke lokasi.
"Setibanya jentera di lokasi mendapati kebakaran membabitkan bilik asrama perempuan di tingkat tiga yang berkeluasan 15X15 kaki persegi.
"Bagaimanapun, ia tidak melibatkan sebarang kecederaan atau kehilangan nyawa," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan tengah malam tadi.
Sehubungan itu, katanya, pasukan bomba membuat kerja pemadaman api menggunakan satu aliran 300 kaki dengan dua pancutan.
Operasi yang diketuai Ketuai Balai BBP Kuala Kangsar, PKPgB Ahmad Izuwan Zakaria itu tamat pada jam 11.48 malam.
#kebakaran #bilik asrama perempuan #Universiti Sultan Azlan Shah #bomba perak
;