Bilangan tenaga buruh meningkat 1.1 peratus pada suku kedua 2024 - DOSM

Bernama
Ogos 9, 2024 23:11 MYT
Menerusi kenyataan itu, pada Jun 2024, kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya. - Gambar hiasan/Bernama
PUTRAJAYA: Bilangan tenaga buruh pada suku kedua tahun ini mencatatkan trend positif dengan peningkatan sebanyak 1.1 peratus kepada 17.15 juta orang berbanding 16.96 juta orang pada suku pertama tahun ini.
Kenyataan dikeluarkan Jabatan Perangkaan Malaysia menyebut bilangan penduduk bekerja naik sebanyak 1.2 peratus, mencecah 16.59 juta orang pada suku tahun yang sama berbanding 16.4 juta orang pada suku sebelumnya.
"Bilangan penganggur terus berkurang sebanyak 0.6 peratus kepada 557,800 orang pada suku kedua tahun ini berbanding 561,100 orang pada suku pertama tahun ini, merekodkan kadar pengangguran 3.3 peratus pada suku tahun kedua 2024," menurut kenyataan itu.
Sementara itu, bilangan tenaga buruh terus meningkat pada Jun lepas dengan kenaikan bulan ke bulan sebanyak 0.1 peratus kepada 17.17 juta orang berbanding 17.15 juta pada bulan sebelumnya.
Manakala bilangan penganggur pada bulan itu turun sebanyak 0.1 peratus bulan ke bulan kepada 565,300 orang berbanding 566,100 orang pada Mei 2024.
Menerusi kenyataan itu, pada Jun 2024, kadar pengangguran kekal pada 3.3 peratus seperti pada bulan sebelumnya dengan bilangan penduduk bekerja terus meningkat sebanyak 0.2 peratus kepada 16.61 juta orang berbanding 16.58 juta orang pada Mei 2024.
"Mengikut sektor ekonomi, sektor perkhidmatan terus menunjukkan peningkatan dalam bilangan penduduk bekerja, terutamanya dalam aktiviti perdagangan borong dan runcit; perkhidmatan makanan dan minuman; serta maklumat dan komunikasi.
"Trend penduduk bekerja yang sama juga dilihat dalam sektor pembuatan, pembinaan, perlombongan dan pengkuarian, serta pertanian," kata kenyataan itu.
-- BERNAMA
#DoSM #tenaga buruh #kadar pengangguran #trend positif #Jabatan Perangkaan Malaysia
;