Bilangan syarikat berdepan tindakan penggulungan dijangka berkurangan pada 2021

Bernama
Mac 18, 2021 23:33 MYT
Jelas Alexander Nanta Linggi, jumlah syarikat yang berdepan dengan tindakan penggulungan ialah 3,022 pada 2018 dan 3,545 pada 2019. - Astro AWANI
PUTRAJAYA: Bilangan syarikat yang berdepan dengan tindakan penggulungan pada tahun ini dijangka berkurangan setelah nilai ambang keterhutangan dinaikkan daripada RM10,000 ke RM50,000.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata semasa nilai ambang keterhutangan ditetapkan pada RM10,000, jumlah syarikat yang berdepan dengan tindakan penggulungan ialah 3,022 pada 2018 dan 3,545 pada 2019.
"Kenaikan nilai ambang ini menunjukkan dasar prihatin kerajaan yang sentiasa memikirkan bagaimana nak bantu rakyat dan dalam hal ini ialah syarikat yang sudah semestinya dalam keadaan sekarang memerlukan bantuan seperti ini.
"Dengan pindaan ini, iaitu kenaikan kepada RM50,000, kami percaya dengan berbuat demikian, kami membantu banyak syarikat daripada terpaksa berdepan tindakan kebankrapan," katanya kepada media sempena Setahun Kerajaan Malaysia Prihatin di sini hari ini.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam mengumumkan nilai ambang keterhutangan dinaikkan daripada RM10,000 kepada RM50,000 dan bersifat kekal.
Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) sebelum ini telah menaikkan nilai ambang semasa keterhutangan di bawah Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 daripada RM10,000 kepada RM50,000 untuk tempoh 23 April hingga 31 Dis 2020 bagi membantu syarikat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
Pada majlis itu, Nanta turut melancarkan dua pelan yang dijangka memacu hala tuju kementerian untuk tempoh lima tahun akan datang iaitu Pelan Strategik Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) 2021-2025 serta Pelan Strategik ICT 2021-2025 dan aplikasi chatbot yang dinamakan SARA.
Beliau berkata Pelan Strategik KPDNHEP 2021-2025, yang mengandungi lima teras strategik, 17 strategi, 39 inisiatif dan 115 Pelan Tindakan, menjadi tonggak kepada kementerian dalam melaksanakan dasar serta program yang akan memberi manfaat kepada rakyat dan golongan peniaga.
Katanya penghasilan pelan itu telah mengambil kira dasar utama kerajaan yang digariskan dalam Rancangan Malaysia Ke-12, Wawasan Kemakmuran Bersama 2030, Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).
Pelan Strategik ICT 2021-2025 pula merupakan dokumen yang menggariskan perancangan pendigitalan kementerian ke arah perkhidmatan digital sepenuhnya kepada golongan peniaga dan pengguna.
Nanta berkata SARA adalah perisian aplikasi yang mengautomasikan interaksi atau teks sembang yang digunakan dalam menguruskan pertanyaan dan aduan.
Berkongsi perjalanan mengemudi KPDNHEP selama setahun, beliau berkata banyak inisiatif yang dirangka dan dilaksana berjaya membantu rakyat mendepani pandemik COVID-19.
Beliau berkata pada awal pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, kementerian itu berjaya menangani situasi pembelian panik dan memastikan barangan keperluan asas kepada pengguna mencukupi.
"Kita juga telah berjaya memastikan kecukupan bekalan pelitup muka dan pensanitasi tangan dengan mengambil pendekatan menang-menang antara pihak pengeluar dan pengguna melalui strategi yang berkesan," katanya.
Kementerian juga telah menambah baik proses dan peraturan berkaitan 'Ease Of Doing Business' yang menyaksikan contohnya, peniaga yang ingin melaksanakan jualan murah hanya perlu memaklumkan kepada KPDNHEP tanpa perlu menunggu kelulusan yang mengambil masa sehingga 30 hari sebelum ini.
-- BERNAMA
#Muhyiddin Yassin #Media #Perdana Menteri #kerajaan #ekonomi #rakyat #menteri #perintah kawalan pergerakan #pelitup muka #COVID-19 #pandemik #Malaysia #peniaga
;