Bilangan mangsa banjir di Sabah kekal 35 orang pagi ini

Eleanor Michelle Patrick
September 17, 2021 11:06 MYT
APM Sabah ketika ini sentiasa dalam situasi siap siaga menghadapi situasi banjir serta tanah runtuh di seluruh Sabah. - Astro AWANI
PENAMPANG: Bilangan mangsa banjir di Sabah kekal sebanyak 35 orang dengan melibatkan tujuh buah keluarga.
Setakat 9 pagi ini, bilangan penduduk yang masih berada di pusat pemindahan sementara (PPS) Rumah Kelab Kompleks Sukan Penampang, kekal sejak petang semalam.
Menurut Jurucakap Agensi Pertahanan Awam (APM) Sabah, keadaan banjir semakin beransur pulih di kebanyakan kawasan.
"Ramai mangsa di PPS juga sudah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing sejak semalam.
"Bagaimanapun, kita sering mengingatkan penduduk setempat khususnya mereka yang tinggal di kawasan rendah supaya berwaspada berikutan keadaan ketika ini masih tidak menentu," katanya dalam satu kenyataan media, pada hari ini.
Sementara itu, jurucakap APM Sabah menyatakan pihaknya ketika ini sentiasa dalam situasi siap siaga menghadapi situasi banjir serta tanah runtuh di seluruh Sabah.
#banjir #Sabah #mangsa #beransur pulih
;