Bilangan mangsa banjir di Kedah terus meningkat

Adie Sufian Zulkefli
November 16, 2023 09:30 MYT
Setakat ini, paras bacaan di tiga sungai di Kedah masih melebihi paras bahaya seperti yang dilaporkan pada jam 8 pagi. - Foto Astro AWANI
ALOR SETAR: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatat peningkatan kepada 231 mangsa daripada 74 keluarga yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) di Kota Setar dan Kubang Pasu setakat jam 8 pagi hari ini.
Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Angkatan Pertahanan Awam (APM) Kedah, Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata, tiga PPS di daerah Kota Setar mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 200 orang daripada 67 keluarga.
Beliau berkata, PPS di daerah Kubang Pasu pula masih kekal 31 mangsa daripada tujuh keluarga yang ditempatkan di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Malau.
"PPS yang masih aktif di Kota Setar adalah di SK Titi Gajah seramai 101 mangsa daripada 35 keluarga manakala PPS di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Alor Merah seramai 94 mangsa daripada 30 keluarga dan PPS di SK Taman Aman pula seramai lima mangsa daripada dua keluarga.
"Anggota APM di kawasan yang terjejas masih melakukan pemantauan setakat ini," katanya.
Dalam pada itu, berdasarkan Laman Web Public Infobanjir, setakat ini, paras bacaan di tiga sungai di Kedah masih melebihi paras bahaya seperti yang dilaporkan pada jam 8 pagi.
Antara sungai terbabit, Sungai Anak Bukit di Taman Aman di daerah Kota Setar, Sungai Bata di Kampung Bata dan Sungai Laka di Kampung Pasir di daerah Kubang Pasu.
Kesemua trend sungai berkenaan terus menaik setakat ini.
#banjir #Kedah #PPS #paras air sungai
;