Bilangan kuota haji mungkin ditambah tahun depan - Jamil

Hans Yusoff
Oktober 8, 2014 07:33 MYT
JAMIL: Bilangan kuota haji mungkin ditambah tahun depan - Gambar fail
Bilangan kuota haji untuk seluruh negara termasuk Malaysia kemungkinan bertambah tahun depan sekiranya pembangunan dan naik taraf infrastruktur sekitar Masjidil Haram siap sebelum penghujung tahun 2015.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, kerajaan Arab Saudi juga bersedia untuk meningkatkan kuota haji dengan melihat pembesaran kawasan menunaikan ibadah haji di sekitar Masjidil Haram.
Jamil berkata demikian pada sidang akhbar selepas sekembalinya dari Tanah Suci di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini semalam.
Sebelum ini, Pengerusi Tabung Haji Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim berkata, Malaysia akan terus membuat rayuan kepada kerajaan Arab Saudi berhubung kemasukan jemaah ke Mekah.
Ia akibat pengurangan kuota 20 peratus kemasukan jemaah Haji dari Malaysia.
Azeez menjelaskan, perkara itu dapat diselesaikan secara baik memandangkan Malaysia mempunyai reputasi dan rekod yang baik sepanjang proses pengurusan jemaah Haji.
Kuota jemaah haji Malaysia tahun lepas dikurangkan kepada 22,400 berbanding 28,000 pada tahun sebelumnya.
Lembaga Tabung Haji menjelaskan pengurangan kuota itu dibuat berikutan arahan terbaharu kerajaan Arab Saudi.
Sehingga kini, lebih 1 juta orang berada dalam senarai menunggu untuk menunaikan haji berikutan pemilihan bakal haji setiap tahun adalah berdasarkan proses pendaftaran mengikut tarikh dan masa daftar haji.
#azeez #Haji #jamil #juta #KLIA #kuota #Mekah
;