Bilangan kompaun rendah kerana polis guna budi bicara - Ismail Sabri
Astro Awani
Disember 2, 2020 19:24 MYT
Disember 2, 2020 19:24 MYT
KUALA LUMPUR: Kebanyakan kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) adalah membabitkan cubaan rentas sempadan negeri dan daerah.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata bagaimanapun bilangan kompaun yang dikeluarkan di seluruh negara tidak terlalu tinggi disebabkan polis banyak menggunakan budi bicara ketika pemeriksaan sekatan jalan raya (SJR).
"Pegawai dan anggota polis yang bertugas di SJR lebih banyak menggunakan budi bicara terhadap pengguna jalan raya yang diperiksa walaupun dikesan melakukan kesalahan berkaitan melanggar syarat PKPB dan PKPP.
"Kalau diikutkan mereka (polis) sebenarnya boleh mengeluarkan lebih banyak kompaun tetapi mereka mengambil pendekatan memberi nasihat dan amaran supaya pengguna jalan raya tidak mengulangi kesalahan," katanya dalam sidang media harian COVID-19 hari ini.
Justeru, Ismail Sabri berharap masyarakat lebih mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh kerajaan dan tidak mengambil kesempatan atas budi bicara polis.
"Sekiranya ada pihak yang masih dikesan melanggar arahan yang dikeluarkan, tindakan terpaksa juga diambil terhadap mereka," katanya.