Bilangan kes influenza kalangan pelajar tertinggi di Selangor

Bernama
Januari 17, 2020 21:38 MYT
Daerah yang mencatatkan kes tertinggi adalah Petaling Perdana dengan 185 kes diikuti Klang (143), Petaling Utama (102) dan Sepang (84). - Gambar fail
Kes wabak influenza melibatkan pelajar sekolah terus menyaksikan peningkatan hari ini dengan bilangan tertinggi kes 717 dicatatkan di Selangor.
Di SELANGOR, Pengarah Pendidikan Negeri (JPN) Dr Mahanom Mat Sam yang mengesahkan jumlah itu berkata jangkitan tersebut direkodkan di 248 sekolah membabitkan 10 daerah setakat hari ini.
Beliau berkata daerah yang mencatatkan kes tertinggi adalah Petaling Perdana dengan 185 kes diikuti Klang (143), Petaling Utama (102) dan Sepang (84).
"Kesemua kes yang dilaporkan telah menerima rawatan di klinik dan hospital berhampiran dan pelajar dilaporkan stabil.
"Mereka yang menerima rawatan di wad dan dipantau hospital, juga telah dibenarkan pulang ke rumah masing-masing selain diberi cuti rehat selama tiga ke tujuh hari," katanya dan menambah buat masa ini tiada kelas dan sekolah ditutup di negeri itu.
Di PULAU PINANG, Pengarah Pendidikan Negeri, Abdul Rashid Abdul Samad juga melaporkan kes wabak influenza mengalami peningkatan membabitkan 198 murid dari 96 sekolah menengah dan rendah di negeri itu berbanding 178 orang daripada 87 sekolah semalam.
Sebuah kelas prasekolah di Sekolah Kebangsaan Pinang Tunggal, Kepala Batas ditutup hari ini hingga 23 Jan, selepas dua murid dijangkiti influenza.
BACA: Influenza: Sebuah kelas pra sekolah di Pulau Pinang ditutup
Jelasnya, tempoh penutupan dua kelas itu ditetapkan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang untuk membolehkan petugas kesihatan menjalankan kerja-kerja pembersihan kelas termasuk membasmi kuman.
"Berdasarkan data yang diperoleh JPN, seramai 178 murid di 77 sekolah rendah dan 19 pelajar di 19 sekolah menengah di Pulau Pinang dijangkiti influenza. Setakat ini 65 murid telah tamat kuarantin manakala 133 masih dikuarantin," katanya.
Di PERAK, bilangan pelajar dijangkiti influenza turut meningkat kepada 94 orang membabitkan 55 sekolah di sembilan daerah.
Menurut jurucakap JPN Perak, pelajar yang terlibat membabitkan 19 orang dari daerah Bagan Datuk termasuk 10 di Sekolah Menengah Sains Teluk Intan (Semesti); Kinta (42); Larut Matang dan Selama (14), Manjung (lapan), Perak Tengah (tiga), Kuala Kangsar (empat), Kerian (dua) serta masing-masing satu di daerah Hilir Perak dan Batang Padang.
Sementara itu, Semesti dalam daerah Bagan Datuk kekal menjadi satu-satunya sekolah yang ditutup selepas 10 pelajar positif Influenza A (H1N1) sejak Sabtu lalu.
Semesti ditutup sejak Isnin sehingga Ahad ini dan semua pelajar yang dijangkiti kini berehat di rumah atas nasihat doktor.
Bagaimanapun, di PAHANG, 53 pelajar dan tiga guru adalah individu yang dijangkiti influenza melibatkan sembilan daerah di negeri ini.
Pengarah Pendidikan Negeri Datuk Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata daerah Kuantan merekodkan kes paling tinggi iaitu 24 kes diikuti Pekan dengan tujuh kes.
Cameron Highlands dan Temerloh masing-masing merekodkan enam kes diikuti Maran (lima kes), Bentong (empat kes), Jerantut (dua kes) manakala Bera serta Rompin, mencatat satu kes.
"Setakat ini tiada sekolah yang ditutup kerana semua pesakit dikuarantin di rumah atau menerima rawatan di hospital," katanya.
Tajuddin berkata empat pelajar sekolah rendah yang dipercayai kes terawal influenza di Kuantan dan Raub juga disahkan sudah pulih.
Di NEGERI SEMBILAN, Pengarah Pendidikan Negeri Sembilan Datuk Pkharuddin Ghazali berkata 119 murid dijangkiti Influenza sejak sesi persekolahan dibuka pada 2 Jan lalu hingga hari ini.
Beliau berkata ketika ini hanya 30 pelajar daripada 119 pelajar yang berada dalam proses pemulihan sementara selebihnya sudah pulih.
"Kesemua 119 pelajar ini melibatkan 48 murid dari 35 sekolah rendah dan 71 pelajar dari lima sekolah menengah di empat daerah iaitu Seremban, Port Dickson, Tampin dan Kuala Pilah. Setakat ini tiada penutupan sekolah dilakukan," katanya.
Influenza merupakan jangkitan dengan gejala utama seperti demam selesema, sakit tekak, batuk dan gejala lain seperti sakit kepala, sakit otot, sakit sendi dan kelesuan.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad sebelum ini memaklumkan vaksin influenza ditawarkan hospital kerajaan hanya kepada golongan berisiko tinggi seperti pesakit dengan penyakit kronik serta golongan dengan daya ketahanan yang rendah.
Sementara orang awam yang ingin mendapatkan suntikan vaksin influenza juga boleh mendapatkan suntikan berkenaan di fasiliti kesihatan swasta.
Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dalam kenyataan memaklumkan pihaknya mengambil beberapa langkah kawalan penularan wabak tersebut antaranya mengasingkan pelajar yang mempunyai tanda jangkitan sebelum menghubungi ibu bapa untuk mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital.
Selain itu, pelajar juga diingatkan untuk mengekalkan tahap kebersihan diri yang tinggi dengan amalan kerap membasuh tangan dengan air bersih dan sabun atau pencuci tangan, mengamalkan adab batuk yang baik dan mengamalkan cara hidup yang sihat.
-- BERNAMA
#bilangan tertinggi #Kementerian Pendidikan Malaysia #kes wabak influenza #pelajar sekolah #Petaling Perdana #suntikan vaksin
;