Bilangan jemaah solat Jumaat dinaikkan - Sultan Selangor
Bernama
Oktober 31, 2021 14:14 MYT
Oktober 31, 2021 14:14 MYT
SHAH ALAM: Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menitahkan supaya jumlah ketetapan bilangan jemaah untuk Solat Jumaat bagi masjid-masjid dan surau-surau dengan kebenaran Solat Jumaat di Selangor, dinaikkan.
"Sebagai contoh, Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah akan boleh menerima kehadiran sehingga 3,500 jemaah berbanding 2,000 jemaah ketika ini.
"Masjid-masjid Daerah dinaikkan kepada antara 700 hingga 1,000 jemaah bergantung kepada jumlah kapasiti masing-masing, manakala masjid-masjid Institusi pula ditambah kepada antara 500 hingga 1,200 jemaah, sementara Masjid Pengurusan antara 400 hingga 700 jemaah," titah baginda.
Baginda bertitah demikian setelah meneliti data-data terbaharu penularan wabak COVID-19 yang memperlihatkan statistik kematian harian telah menurun kepada satu digit bagi Selangor, menerusi kenyataan yang dimuat naik di Facebook Selangor Royal Official hari ini.
Mengikut statistik, sehingga 27 Okt 2021, jumlah kematian akibat COVID-19 di Selangor berjumlah 9,581 orang, di mana separuh daripadanya terdiri daripada orang Melayu beragama Islam.
Bagaimanapun, dengan kelonggaran terbaharu ini, baginda dengan tegas mengingatkan para jemaah agar mengambil serius dan terus berhati-hati serta sentiasa mematuhi SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan dan Jabatan Agama Islam Selangor ketika beribadat di dalam masjid.
Dalam masa sama, bagunda berharap agar semua rakyat jelata sama-sama menggalas tanggungjawab untuk mengatasi penularan wabak COVID-19 ini.
"Kita mesti menang dan kembali menjalani kehidupan seperti sediakala dan beta tidak mahu kelalaian dalam mematuhi SOP ini menjadi punca kes positif COVID-19 kembali meningkat dan seterusnya memungkinkan berulangnya pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan," titah baginda.
Baginda menzahirkan bahawa rakyat tidak mampu lagi berdepan dengan satu lagi 'lockdown' seperti yang berlaku sebelum ini, yang ternyata menyusahkan kehidupan seharian rakyat sehingga menjejaskan sumber pendapatan.
Untuk itu, baginda menyeru sekalian rakyat khususnya umat Islam agar menunaikan solat dan terus memohon doa ke hadrat Allah SWT, agar negeri dan negara yang kita kasihi ini dijauhi daripada wabak penyakit, bala dan malapetaka.
-- BERNAMA