Bilal mangsa simbah petrol dan bakar meninggal dunia
Adie Sufian Zulkefli
Mac 16, 2020 19:12 MYT
Mac 16, 2020 19:12 MYT
Seorang bilal masjid yang melecur akibat dibakar selepas disimbah petrol bulan lalu dilaporkan meninggal dunia hari ini setelah 22 hari dirawat di Unit Rawatan Rapi (Kebakaran), Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Shahrizal Amrin berkata selepas bapanya menjalani pembedahan mengambil isi peha bagi menggantikan bahagian kulit melecur di bahagian kiri badannya, arwah bapanya koma dan tidak sedarkan diri sehingga pagi tadi.
Katanya, doktor memaklumkan keadaan bapanya makin tenat dan ahli keluarga diminta berkumpul untuk melihat keadaannya buat kali terakhir.
Shahrizal berkata, mereka sekeluarga menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan lanjut terhadap suspek berusia 40-an yang ditahan polis pada hari kejadian.
Katanya, jenazah ayahnya akan dibawa pulang ke rumah sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Seberang Terus, malam ini.
Dalam kejadian 19 Februari lalu, Amri Budin dikatakan tiba di perkarangan Masjid Al Hasanah pada jam 5.50 pagi untuk menunaikan solat Subuh.
Bagaimanapun, suspek yang menunggang motosikal di kawasan itu seorang diri dikatakan menyimbah petrol dan membakar mangsa di tempat kejadian menyebabkan mangsa rebah.
Jemaah masjid yang kebetulan ternampak kejadian itu membantu memadam api dengan kain sebelum menghubungi polis dan anak mangsa untuk memaklumkan kejadian itu.
Berikutan itu polis menahan suspek terbabit kira-kira enam jam selepas kejadian berhampiran lokasi kejadian manakala mangsa yang melecur 25 peratus dirawat di HSB.
#Amri Budin
#API
#Astro Awani
#bilal
#Bilal rentung
#Hospital Sultanah Bahiyah
#jenazah
#kebakaran
#keluarga
#mangsa
#meninggal dunia
#minyak
#petrol
#simbah petrol
#suspek