Bilakah umur paling sesuai untuk anak berpuasa? Mungkin ini jawapannya
Astro Awani
April 4, 2022 09:00 MYT
April 4, 2022 09:00 MYT
SETIAP kali tibanya Ramadan, bukan sahaja ibu bapa, kanak-kanak juga kadangkala turut sama gembira meraikan kedatangannya.
Ada yang masih kecil, namun, mahu cuba untuk berpuasa kerana ingin merasai sendiri nikmat berpuasa.
Begitupun, ada yang keliru untuk membenarkan anak-anak berpuasa apatah lagi mereka masih kecil, bimbang ‘perut tidak tahan’, risau anak tidak bermaya.
Pelbagai pendapat tentu sekali menerjah minda, namun usah risau, artikel ini akan membantu anda - terutamanya ibu bapa - untuk menentukan bilakah anak mereka boleh mula berpuasa.
Unit Buhuth Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini berkongsi: “Para ulama bersepakat bahawa kanak-kanak yang belum baligh tidak diwajibkan berpuasa, berdasarkan hadis yang menyebut bahawa tidak terdapatnya taklif dan tanggungjawab ke atas seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh.”
Menurutnya lagi, Saidina Ali bin Abi Tolib meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Terdapat tiga golongan yang amalan mereka tidak dicatat: seorang kanak-kanak sehinggalah dia baligh, orang yang tidur sehinggalah dia terjaga dan seorang yang hilang akalnya sehinggalah dia kembali waras.” - Sunan Abi Dawud (4402)
Berdasarkan hadis tersebut, bolehlah disimpulkan kanak-kanak tidak diwajibkan berpuasa selagi mereka belum baligh.
Namun, berapakah usia yang paling sesuai?
Menurut Imam Zainuddin Ahmad al-Malibari dan Syeikh Dr Muhammad Hassan Hito, ibu bapa atau wali perlu menyuruh kanak-kanak untuk berpuasa seawal umur tujuh tahun dan mendidiknya dengan ‘pukulan kecil’ yang tidak menyakitkan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan.
Hal ini diqiyaskan dengan hadis suruhan mendidik anak-anak untuk solat yang maksudnya: “Ajarilah kanak-kanak untuk solat setelah dia berusia tujuh tahun dan apabila dia berumur sepuluh tahun, pukullah dia (dengan pukulan yang tidak menyakitkan dan melukakan dengan tujuan untuk mendidik).” - Sunan Abi Dawud (494).
Berdasarkan hadis dan maklumat lain yang berkaitan, Unit Buhuth menyimpulkan: “Tuntasnya kami nyatakan bahawa ibu bapa atau wali perlu mengajar dan menyuruh anak-anak supaya berpuasa seawal umur tujuh tahun dan mendidik dengan pukulan yang ringan ketika dia berumur sepuluh tahun jika dia enggan.”
Bagaimana pula dengan puasa separuh hari?
Memandangkan kanak-kanak berusia kurang 10 tahun tidak dicatatkan lagi amalannya, dibolehkan untuk puasa separuh hari untuk melatih kanak-kanak berpuasa.
Begitupun, puasa separuh hari itu hanyalah untuk kanak-kanak, sama macam yang diamalkan ibu bapa dulu-dulu ketika melatih kita berpuasa.
Tapi, janganlah pula ada yang dewasa pula katakan: “Teringat pesan mak dulu-dulu, kalau tak larat puasa penuh, puasa separuh hari pun tidak mengapa.”
Ingat ya wahai orang dewasa, jatuh haram hukumnya kalau anda tidak berpuasa!