'Bilakah perbahasan dasar kabotaj akan diadakan?' - Guan Eng tanya Ka Siong

Hasimi Muhamad
Oktober 5, 2021 12:38 MYT
Guan Eng berkata Ka Siong masih tidak memberikan sebarang perkembangan, meskipun beliau telah menerima cabaran untuk berdebat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Selepas lima hari cabaran berdebat mengenai dasar kabotaj negara dibuat di Dewan Rakyat, Lim Guan Eng hari ini mempersoalkan Menteri Pengangkutan, Wee Ka Siong yang dilihat masih lagi 'membisu' mengenai perkara itu.
Ahli Parlimen Bagan itu memaklumkan, sehingga hari ini Ka Siong masih tidak memberikan sebarang perkembangan, meskipun beliau telah menerima cabaran untuk berdebat.
"Pada 30 September lalu, YB Menteri Pengangkutan telah mencabar saya untuk mengadakan perbahasan mengenai dasar kabotaj yang menyebabkan kerugian pelaburan kira-kira RM12 bilion hingga RM15 bilion seperti dinyatakan oleh Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) iaitu melibatkan pelaburan berteknologi tinggi dalam bidang digital.
"Sungguhpun saya telah menerima cabaran itu serta merta, tetapi sehingga sekarang tiada apa-apa susulan. Adakah dia buat cabaran kosong?
"Saya tak cabar, tetapi dia yang cabar... tetapi sehingga sekarang tak ada perkembangan.
"Bilakah perbahahasan tentang dasar kabotaj yang merugikan negara dari aspek pelaburan akan diadakan?" soal Guan Eng di Dewan Rakyat, pada Selasa.
Adakah Ka Siong buat cabaran kosong untuk berbahas, soal Guan Eng
Mendengar persoalan tersebut, Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun kemudian menyatakan kesediaan untuk mengusulkan perkara itu kepada Ka Siong.
Khamis lalu, Ka Siong secara terbuka mencabar Guan Eng (PH-Bagan) untuk berdebat berhubung isu dasar kabotaj negara.
Cabaran itu dibuat susulan Guan Eng tidak berpuas hati dengan penjelasan yang dibuat oleh Ka Siong berhubung isu terbabit di Dewan Rakyat.
Guan Eng meminta Ka Siong menyatakan status kehilangan pelaburan luar negeri daripada projek Apricot, Facebook dan Google dan anggaran RM12 bilion hingga 15 bilion oleh MDEC ekoran dasar kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang membatalkan pengecualian kabotaj untuk syarikat teknologi tinggi yang diberikan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH).
#Dewan Rakyat #Debat Guan Eng Ka Siong #Dasar Kabotaj #Parlimen
;