Bila tiba masanya, Sirul akan cakap siapa suruh bunuh Altantuya - Mahfuz

Wan Syamsul Amly
Mac 7, 2015 13:57 MYT
MAHFUZ: Bila tiba masanya, Sirul akan cakap siapa suruh bunuh Altantuya - Gambar fail
Bekas korporal polis, Sirul Azhar Umar hanya akan memberitahu siapa yang mengarahkannya membunuh model Mongolia, Altantuya Shaaribuu bila tiba masanya kelak.
Ketua Penerangan PAS Pusat Datuk Mahfuz Omar berkata, pendedahan itu hanya akan dimaklumkan Sirul sendiri selepas beberapa isu berkenaan diselesaikan.
"Saya jumpa Sirul empat kali semasa di Australia, dia kata hanya akan memberitahu siapa yang memberikannya arahan membunuh Altantuya sendiri.
"Ada beberapa isu yang dibincangkan, namun ia menggambarkan kesetiaan Sirul semasa bekerja dan mengikut setiap arahan yang diberi," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Mahfuz mengulas pertemuannya dengan Sirul selepas kembali semula ke negara ini pada pagi Sabtu.
Mahfuz berlepas ke Sydney pada 2 Mac lepas bersama ibu Sirul, Piah Samad dan anak perempuannya Noriatin Umar untuk menziarahi Sirul.
Mahfuz sebelum ini berkata kunjungan ini merupakan misi kemanusiaan untuk membawa seorang ibu yang sangat rindu untuk berjumpa dengan anaknya.
Sirul yang dijatuhi hukuman mati setelah didapati bersalah membunuh Altantuya kini berada di pusat tahanan Jabatan Imigresen dan Perlindungan Sempadan di Sydney, Australia selepas ditangkap di Queensland pada 20 Januari berikutan amaran merah dikeluarkan Polis Antarabangsa, Interpol.
Dalam pada itu jelas Mahfuz, Sirul turut memberitahu, Sirul gembira tinggal di Australia dan memikirkan untuk meneruskan kehidupan di sana.
"Saya ada berjumpa beberapa wakil Parlimen di sana dan berbincang mengenai isu berkenaan. Sirul kata dia benar-benar mahu bina kehidupan baharu di Australia," ujarnya.
Pada Jumaat, Mahfuz memberitahu, Sirul meluangkan masa hampir dua jam dengan ibunya buat kali kedua, di Pusat Tahanan Imigresen Villawood, Sydney.
#Altantuya #Australia #Mahfuz #PAS #Sirul
;