'Bila nak laksanakan pengambilan amah tanpa ejen?' - MAMA
Rahimah Abdullah
Februari 15, 2018 04:00 MYT
Februari 15, 2018 04:00 MYT
Persatuan Majikan Amah Malaysia (MAMA) berharap kerajaan memperjelaskan kenapa cadangan pengambilan pembantu rumah asing tanpa melalui ejen yang sehingga kini masih belum dilaksanakan walaupun ia terkandung dalam Bajet 2018.
Presidennya, Engku Fauzi Engku Mohsein berkata, setakat ini, majikan di Malaysia masih bergantung kepada pihak agensi pembantu rumah asing untuk mendapatkan perkhidmatan tenaga kerja berkenaan.
"Ia (cadangan) itu bukan tidak berjaya, namun, ia tidak dijelaskan apa maksud tanpa agensi itu. Adakah kena bayar yuran atau kos-kos seperti mana sebelum ini?" katanya semasa dihubungi Astro AWANI.
Malah beliau melihat persetujuan mengenai cadangan itu hanya dibuat pihak Malaysia sahaja dan negara sumber seperti Indonesia masih bergantung kepada pihak agensi untuk menguruskan pengambilan amah warga mereka.
"Pihak Indonesia masih lagi memerlukan pengambilan pembantu rumah negara mereka melalui agensi mereka. Jadi, masihkah lagi perlu tanggung kos sebelum ini sebab tiada penjelasan?" ujarnya.
Mengulas lanjut, Engku Fauzi berkata, kos pengambilan amah sehingga kini mencecah RM18,000.
Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak semasa membentangkan Bajet 2018 di Dewan Rakyat Oktober lalu mengumumkan langkah kerajaan untuk memberi pilihan kepada majikan mengambil pembantu rumah asing secara langsung dari sembilan negara sumber tanpa melalui ejen.
Selain itu, kerajaan juga akan mengkaji semula kos pengambilan pembantu rumah asing supaya ia dapat dikurangkan pada masa depan.
#Astro
#Astro Awani
#bajet
#Dewan Rakyat
#Indonesia
#kerajaan
#Malaysia
#menteri
#Najib Razak
#Perdana Menteri
#rakyat
#rumah