Bila kita hendak belajar daripada Laporan Ketua Audit - Akhbar Satar

Astro Awani
Jun 17, 2014 08:45 MYT
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen pada Isnin
Transparency International Malaysia (TI-M) mengalu-alukan Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 yang dibentangkan di Parlimen pada Isnin tetapi mempersoalkan bilakah kerajaan akan belajar sesuatu daripada laporan tahunan itu.
Presidennya, Datuk Akhbar Satar berkata kerajaan perlu tindakan susulan dengan segera.
Pihaknya sedia bekerjasama dengan kerajaan untuk mencari penyelesaian kepada isu-isu yang diketengahkan dalam laporan itu.
"Adalah malang apabila kelemahan pengurusan dan pembaziran dana awam ini berterusan tahun demi tahun. Sikap tidak acuh kerajaan untuk mengambil tindakan tegas … mewujudkan budaya menyeleweng dalam hampir semua jabatan kerajaan.
"Untuk menangani masalah ini, kerajaan mesti melaksanakan dengan segera perubahan dan penguatkuasaan yang tegas dalam sistem kawalan dalaman, ketelusan, kebertanggungjawaban, reputasi peribadi dan integriti.
"Bilakah kita hendak belajar daripada Laporan Ketua Audit?" katanya dalam satu kenyataan.
Sebanyak 230 syor dikemukakan dalam Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 bagi membantu Kerajaan Persekutuan, Badan Berkanun Persekutuan dan Kerajaan-kerajaan negeri membuat penambahbaikan dan memperbaiki kelemahan yang dilaporkan.
Jabatan Audit Negara mengemukakan 55 syor kepada Kerajaan Persekutuan, 31 syor kepada Badan Berkanun Persekutuan dan 144 syor kepada Kerajaan-kerajaan negeri.
TI-M memetik contoh-contoh khusus berdasarkan Laporan Ketua Audit Negara 2013, yang mendapati bahawa Perbadanan Aset Keretapi (PAK) telah membayar kontraktornya kos penyelenggaraan hampir RM100 juta walaupun rekod menunjukkan bahawa keretapi elektrik yang dikendalikan oleh KTM Berhad telah terlepas servis penyelenggaraan harian pada bulan Ogos dan Disember 2012 serta Februari, Mei dan Julai, 2013.
“Apa yang lebih membimbangkan adalah Jabatan Penyiaran, Radio Televisyen Malaysia (RTM) yang di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia,membyarr 413 program televisyen yang bernilai RM 111.30 juta tanpa kontrak rasmi.
“Laporan Audit 2013 juga menekankan bahawa RTM telah gagal untuk mengeluarkan penalti kepada syarikat-syarikat yang lewat dalam menyampaikan program-program mereka, menyebabkan kerajaan kehilangan RM182,142” ” kata Akhbar memetik laporan Ketua Audit.
Sementara itu, Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang berkata Kementerian Kewangan telah mengeluarkan Laporan Maklum Balas ke atas Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 yang memberikan ulasan serta tindakan terkini daripada Ketua Perkhidmatan terhadap isu-isu yang dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam Laporan Ketua Audit Negara.
"Kelemahan yang dilaporkan kebanyakannya bersabit dengan kecekapan dan akuran penjawat awam kepada peraturan kewangan kerajaan," kata Ambrin dalam kenyataan pada Isnin.
TM-I turut menggesa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak untuk melihat bukan sahaja kepada bilangan kes yang tertunggak bagi projek-projek awam di mana menyebabkan kos meningkat dan penyalahgunaan dana awam.
TM-I juga mahu agar penyelenggaraan kes-kes rasuah, pecah amanah dan penipuan dikenal pasti dan tindakan sewajarnya diambil.
“Kami menggesa PM untuk menyiasat sama ada dana awam telah dibelanjakan secara berhemah dan pastikan setiap Menteri bertanggungjawab bagi setiap kegagalan mematuhi peraturan kewangan, pengurusan, perolehan berharga tinggi, perkara yang tidak berbaloi dan sasaran yang tidak dicapai.
Mereka harus mengambil tindakan susulan terhadap semua isu-isu yang disenaraikan dalam Laporan Audit tahun ini agar prestasi dapat diperbaiki daripada audit lepas” kata Akhbar lagi.
Laporan Ketua Audit Negara Tahun 2013 Siri 2 dibentangkan di Parlimen pada Isnin selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah.
#Datuk Akhbar Satar #Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 2 #Transparency International Malaysia (TI-M)