Bila harga ikan tongkol naik seratus peratus
Sharom Abu Bakar
Februari 21, 2017 17:24 MYT
Februari 21, 2017 17:24 MYT
Meskipun musim tengkujuh sudah sampai ke penghujung, harga ikan pula dilaporkan mencapai kemuncaknya.
Harga ikan di negeri ini menyaksikan kenaikan antara 50 peratus hingga 150 peratus sekali gus merekodkan paras peningkatan paling tinggi sejak bermulanya musim tengkujuh tahun ini.
Tinjauan Astro AWANI mendapati harga ikan tongkol misalnya mencecah antara RM22 hingga RM26 sekilogram berbanding sembilan ringgit sebelum ini.
"Penggunalah yang teruk, golongan miskin memang terbeban dengan kenaikan seperti ikan kembung mencecah RM20 sekilogram berbanding RM12 hingga RM13 sebelum ini," kata seorang usahawan, Tengku Ismail Tengku Jaafar semasa ditemui di sini, hari ini.
Bagi golongan peniaga, mereka mengakui ini merupakan senario luar biasa sehingga tiada pilihan selain menaikkan harga ikan sekali gus merekodkan paras tertinggi berbanding musim tengkujuh yang lalu.
"Dari pembekal sudah mahal, jadi saya juga terpaksalah jual mahal.
"Ikan selayang contohnya, saya dapat pada harga RM12, jadi terpaksalah saya jual RM14," kata seorang peniaga, Mohd Anuar Yahya.
Menurut seorang pemborong, Mamat Ali, 62, kenaikan harga didorong kekurangan bekalan dan pada masa yang sama, permintaan semasa juga sangat tinggi.
"Susah dapat ikan sekarang, jadi saya sebagai pemborong pun tertekan juga untuk cari makan sebab harga ikan terlalu tinggi," katanya.
Tambahnya, nelayan di sini juga tidak ramai yang turun ke laut atas beberapa faktor antaranya mengambil kira kos bahan api selain risiko keselamatan berhadapan cuaca yang tidak menentu.
#barangan naik
#ikan kembung mahal
#Ikan tongkol naik harga
#Kuala Terengganu
#musim tengkujuh
#Pasar Payang